Wednesday, 24 February 2016

Novel Lelaki Itu Jodohku 2

BOLA mata Asha meliar ke sana sini, mencari figura Hilman. Mereka berjanji untuk berjumpa berdekatan dengan tasik di Presint 2 bagi membincangkan hal perkahwinan mereka. Usai bayang yang dicari kelihatan, dia tersenyum hambar. Leka dia melihat figura Hilman yang sedang duduk di kerusi batu sambil merenung tasik yang terbentang luas di hadapan mata.
Serentak itu, dia menarik nafas dalam-dalam, lalu menghembus keluar perlahan-lahan. Kuatkanlah hatiku, ya ALLAH. Sempat lagi hatinya menitipkan doa buat Yang Maha ESA. Dengan langkah gementar, dia mengatur langkah menuju ke arah Hilman.
Usai tiba di belakang Hilman, Asha berdehem halus. “Assalamualaikum?” sapanya dengan suara lembut dan sopan.
Hilman yang sedang ralit merenung tasik itu, tersentak demi mendengar teguran Asha. Dia menoleh memandang figura gadis itu. Segaris senyum hambar terukir di bibir. “Waalaikumusalam!” balasnya sambil membetulkan duduk. “Duduklah!” ajaknya sedikit kekok.
“Terima kasih.”
“Hmm!”
Sejenak mereka terdiam, melayani perasaan masing-masing.
Atas bawah, atas bawah, Hilman memerhati penampilan Asha. Spontan, dia mencebik. Perempuan macam ni ke nak jadi isteri aku? Huhh, kekampungan sungguh! Langsung tak menepati cita rasa aku! kutuknya dalam hati.
Walaupun tidak betah melihat renungan Hilman, Asha tetap cuba berlagak selamba. Bibirnya terkunci rapat. Seolah-olah ada berkilo-kilo jongkong emas di dalam mulutnya.
“Asha?” Hilman menegur setelah agak lama berdiam diri.
Asha menoleh memandang wajah Hilman. “Hmm?” Sedikit gugup dia membalas.
Hilman mengukir senyum sinis. “Pelik kan? Punyalah desperate nak bersuami, sampai sanggup jadikan aku sebagai suami bidan terjun kau. Mana hilangnya maruah kau hah?” Bertubi-tubi dia membidas umpama mesin gan.
Asha terkedu. Ayat yang terucap dari bibir Hilman itu menyentap tangkai jantungnya. Dia terus berdiri. Merenung tepat ke segenap wajah Hilman. “Apa maksud awak?” Rona wajahnya berubah kelat.
Hilman tertawa sinis. Sengaja ingin membakar hati Asha. “Tak betul ke apa yang aku cakap ni, hmm? Fadli dah lari tinggalkan kau. Entah dia menghilang ke mana pun, aku tak tahu. Sadisnya, kau boleh terfikir untuk jadikan aku sebagai pengganti?” Sekali lagi dia membidas.
Asha tergamam. Hatinya terasa bagaikan disiat-siat. Sanggup Hilman memalukannya sedemikian rupa? Dia bukan perigi mencari timba! “Awak tak berhak menuduh saya sejauh tu, Hilman!” bidasnya.
“Tak payah nak berlakon baik, Asha. Lakonan kau tu kurang bermutu tau. Langsung tak dapat beri apa-apa kesan pada aku. Betul kan tuduhan aku ni? Kau sebenarnya desperate nak bersuami kan?” bidas Hilman bersama segaris senyum sinis di bibir.
“Saya tak pernah tipu awak, Hilman! Tak pernah terlintas di benak fikiran saya untuk bersuamikan lelaki macam awak! Papa, mama dan mummy awak yang datang ke rumah saya. Mereka nak awak ganti tempat abang Fadli. Saya tak minta semua tu!” Asha berusaha membela dirinya. Tidak mahu Hilman terus menyebarkan tuduhan tidak berasas itu lagi.
Sekali lagi Hilman tertawa sinis. “Tak payah nak bagi bermacam-macam alasan, Asha. Sebab kau, aku terpaksa kahwin dengan kau. Sebab Fadli lari tinggalkan kau, papa paksa kita kahwin. Sampai sanggup ugut aku. Kalau aku tak kahwin dengan kau, aku akan hilang jawatan CEO. Apa semua ni, Asha?”
Asha terpempan. Terkejut mendengar pengakuan itu. “Saya… saya…”
“Kau apa?” potong Hilman keras. “Semua ni salah kau, tau tak? kalau bukan sebab kau, semuanya tak akan jadi macam ni!”
Air mata Asha terus merembes keluar. Pedihnya hati menerima tuduhan sebegitu rupa. Ya ALLAH… “Kenapa awak tak menolak aje, Hilman?”
“Menolak?” Hilman tergelak sinis. “Aku tak nak hilang jawatan CEO. Sebab tu aku terpaksa kahwin dengan kau!” Satu jarinya hinggap ke muka Asha. “Kau dengar sini baik-baik, Asha Hasna! Aku bagi amaran keras! Walaupun kita dah bergelar pasangan suami isteri, aku tak akan pernah anggap kau sebagai seorang isteri. Faham?!”
Asha terkesima. Serta-merta dia mengelap air mata yang masih berbaki di pipi. “Jangan risau, Hilman. Saya pun tak akan pernah menganggap diri saya ni sebagai isteri awak!” Dia memulangkan paku buah keras. Seraya itu, dia terus berjalan pergi meninggalkan Hilman.
“Nanti!” laung Hilman.
Langkah Asha mati. Namun, dia langsung tidak menoleh ke belakang.
“Memang aku kena jadi bidan terjun untuk jadi suami ekspres kau. Tapi, aku tak akan sesekali jatuh cinta pada kau!” tegas Hilman.
Asha memejam mata. Dia menarik nafas panjang. Cuba menstabilkan emosi diri. Lalu, dia berpaling ke belakang. “Saya tak akan harap apa-apa dari awak, Hilman. Jangan risau!” Dia terus pergi meninggalkan Hilman. Sekali lagi air matanya merembes keluar. Menangisi nasib dirinya yang malang. Ya ALLAH…


---------------


ASHA menangis semahunya. “Kenapa awak tuduh saya macam tu, Hilman? Apa salah saya? Saya tak pernah minta semua ni berlaku,” rintihnya sambil tersedu-sedan. Kata-kata Hilman umpama duri tajam yang tertusuk ke tubuh manusia. Sungguh pedih dan berbisa!
“Saya tak pernah desperate nak bersuamikan lelaki macam awak, Hilman. Tak pernah telintas di fikiran saya untuk jadi isteri awak. Kenapa awak sanggup tuduh saya macam tu?” Sekali lagi dia merintih hiba. Sebak hatinya apabila menerima kata-kata sinis daripada lelaki kacak itu.
Tidak semena-mena bayangan Fadli menerpa ruang matanya. “Abang, kenapa buat Asha macam ni? Asha terseksa, bang. Asha merana disebabkan perbuatan abang. Tolonglah pulang semula ke pangkuan Asha, bang. Asha tak sanggup hadapi semua ni seorang diri. Asha betul-betul perlukan abang di sisi Asha sekarang ni. Pulanglah, bang,” rintihnya lagi.
Serentak itu, janji yang pernah terucap di bibir Fadli kembali menyapa ingatannya. “Abang janji, sayang! Percayalah cakap abang. I will back for our wedding!”
Apabila teringat pada janji itu, tangisan Asha kembali kedengaran semula. Teresak-esak tangisannya. “Abang janji, abang nak balik. Abang nak sempurnakan impian kita untuk hidup bersama. Abang nak sempurnakan majlis perkahwinan kita. Tapi, kenapa abang tipu Asha? Sampai hati abang…”
Bayangan wajah Fadli mula menghilang sedikit demi sedikit. Diganti pula dengan bayangan wajah Hilman. Lelaki itu tersenyum sinis. Seolah-olah sedang melemparkan kata-kata bisa buat dirinya. Ya ALLAH…
“Pelik kan? Punyalah desperate nak bersuami, sampai sanggup jadikan aku sebagai suami bidan terjun kau. Mana hilangnya maruah kau hah?”
“Saya tak pernah mengayam impian untuk hidup bersama awak, Hilman! Saya tak pernah cintakan awak! Saya cuma cintakan abang Fad seorang aje! Saya hanya mahukan dia sebagai pendamping hidup saya, bukannya awak!” jerit Asha nyaring. Melepaskan kesedihan dan kekecewaan yang semakin selesa menghuni sekeping hatinya.
Tidak semena-mena, kata-kata amaran keras hinggap ke telinganya. “Kau dengar sini baik-baik, Asha Hasna! Aku bagi amaran keras! Walaupun kita dah bergelar pasangan suami isteri, aku tak akan pernah anggap kau sebagai seorang isteri. Faham?!”
“Memang aku kena jadi bidan terjun untuk jadi suami ekspres kau. Tapi, aku tak akan sesekali jatuh cinta pada kau!”
“Jangan risau, Hilman. Saya tak perlukan cinta awak! Biarlah saya hidup dengan momen-momen indah abang Fadli. Walaupun kita terpaksa berkahwin, saya tetap tak akan anggap diri saya ni sebagai isteri awak!”

Sekali wajah Fadli menjengah kotak fikirannya. Membuat esak tangisannya semakin kuat. “Asha rindukan abang. Baliklah…”

Novel Lelaki Itu Jodohku 2

“KAMI datang ke sini untuk pinang Asha untuk Hilman, Azman, Fariha,” kata Datuk Halim dengan memek muka serius.
            Membuntang biji mata Encik Azman dan Puan Fariha mendengar kata-kata Datuk Halim. “Kahwinkan Asha dengan Hilman?” Riak wajah terkejut terukir jelas di wajah pasangan suami isteri.
            Asha yang kebetulan baru sahaja pulang daripada sekolah, terus menjadi kaget apabila mendengar kata-kata bapa mentua tidak jadinya itu. Kakinya terpaku di muka pintu, bagaikan terlekat di situ. “Uncle nak Sha kahwin dengan Hilman Adrian?”
            Seisi ruang tamu rumah teres dua tingkat itu serta-merta memusingkan kepala ke muka pintu.
            Asha memaksa kakinya untuk bergerak ke ruang tamu. Serta-merta dia melabuhkan duduk di sebelah Puan Fariha. “Kenapa uncle nak kahwinkan Sha dengan Hilman? Hilman tak perlu jadi pengganti tempat abang Fad, uncle, auntie. Sha dah redha dengan apa yang dah berlaku. Mungkin dah tertulis di suratan takdir bahawa Sha akan terima takdir sebegitu rupa,” tegasnya, menolak lamaran keluarga Hilman.
Datuk Halim mengeluh. Wajahnya berubah kelat. “Uncle serba salah dengan kamu, Asha. Disebabkan perbuatan Fadli, kamu sekeluarga terpaksa menanggung malu. Jadi, hanya ni aje cara untuk uncle tebus kesalahan kami pada kamu, Asha,” balasnya dengan nada suara lemah.
Asha tersenyum hambar. “Tak apa, uncle. Apa yang berlaku ni adalah kehendak takdir. Kita tak boleh nak melawan ketentuan-NYA. Kun Faya Kun! Allah kata jadi, maka jadilah ia. Kita pun tak boleh nak buat apa-apa.” Hampir menitis air matanya tatkala peristiwa tempoh hari menghambat benak ingatannya. Ya ALLAH, kuatkanlah hatiku untuk menghadapi ujian-MU yang terlalu berat ini, doa hatinya.
Datin Rohaida mencapai tangan Asha, lalu meramasnya lembut. Figura gadis itu direnung dengan penuh rasa sayang. “Asha, auntie sayang kamu macam anak auntie sendiri. Auntie teringin sangat nak bermenantukan Asha, tapi…”
“Tak apalah, auntie. Asha pun dah tak nak harap apa-apa lagi. Auntie anggap ajelah antara kami berdua tak ada jodoh,” celah Asha. Cukuplah sekali hatinya terhiris luka, tidak sanggup rasanya hendak menanggung lagi.  
“Auntie benar-benar mengharap Asha terima pinangan kami. Walaupun Asha tak jadi berkahwin dengan Fad, tapi sekurang-kurangnya auntie masih boleh menganggap kamu sebagai menantu bila kamu berkahwin dengan Hilman,” rayu Datin Rohaida lagi.
Asha terdiam. Terkedu. Kahwin dengan Hilman? Tidak, aku tak cintakan Hilman. Aku cuma cintakan abang Fad seorang aje! Di saat nama Fadli terisi di kotak memorinya, rasa rindu semakin kuat menyeksa jiwanya. Abang, mana abang pergi? Kenapa buat Asha macam ni? Asha rindukan abang, rintih hatinya sebak.
Tiba-tiba, kedengaran Puan Zaryn mendengus geram. Kemarahannya mula terbangkit tatkala melihat tingkah laku Asha yang begitu berat hati hendak menerima lamaran mereka. “Terima pinangan kami, Asha. Kahwin dengan Hilman!” celahnya, seakan-akan mendesak.
Asha melepaskan keluhan. “Hilman dah setuju ke?”
“Dia dah setuju!” Laju sahaja Puan Zaryn membalas. “Sekarang ni keputusan di pihak kamu. Terima aje pinangan kami ni!” Sekali lagi dia mendesak.
Asha terdiam untuk kesekian kalinya.
“Asha?” tegur Datin Rohaida lembut.
Asha mendongak memandang wajah Datin Rohaida.
“Tolonglah terima pinangan kami, Asha. Uncle betul-betul berharap kamu kahwin dengan Hilman,” celah Datuk Hafsyam setelah agak lama berdiam diri.
Asha masih lagi membisu. Ya ALLAH… apakah yang patut dia lakukan?


--------------


ALUNAN muzik berentak disko langsung tidak menarik hati Hilman. Sekuat mana pun muzik itu dimainkan, namun masih lagi tidak mampu menghiburkan hatinya. Fikirannya tetap kusut! Peristiwa semalam masih lagi menguasai kotak ingatannya sehingga ke detik ini.
Dia duduk sambil termenung jauh. Sebuah keluhan berat terhembus keluar dari bibir. “Ya ALLAH… apa sebenarnya yang KAU sedang rencanakan untuk aku?” desisnya perlahan.
Tingkah laku Hilman mengundang kehairanan di benak Dhaniyah Tihani, teman wanitanya. Berkerut-kerut dahinya tanda hairan Terpanggil hatinya untuk mengetahui perkara sebenar.
Serentak itu, dia menghayun langkah menuju ke meja yang diduduki Hilman, lalu dia melabuhkan duduk di sebelah lelaki itu. “Sayang?” tegurnya manja.
Hilman tersentak kecil apabila mendengar teguran Dhaniyah. Lamunannya segera menghilang. Lantas, dia memusingkan kepalanya memandang figura Dhaniyah. “Hmm?”
Dhaniyah merenung manja segenap wajah kacak Hilman. “You ni dah kenapa, sayang? Muka you tu monyok macam tahi ayam aje. Honey, kita datang sini untuk enjoy tau. Kita nak happy-happy, hu ha hu ha… tapi, you? What is going on?” soalnya ingin tahu.
Hilman mengukir senyuman payah. “I’m so sorry, Dani. I tak ada mood.”
Berkerut dahi Dhaniyah. “Why?”
“I have a big problem.”
“What is your problem?”
Hilman mengalihkan wajahnya memandang Dhaniyah. “Kalau I berterus-terang, you mesti akan rasa terkejut.”
“Apa maksud you?”
Hilman menarik nafas dalam-dalam sebelum memulakan bicara. “I kena gantikan tempat Fadli, Dani. I bakal berkahwin dengan Asha tak lama lagi,” beritahunya dengan nada suara lemah. Wajahnya bertukar sugul.
Dhaniyah terkesima. “What?” Dia antara percaya tak percaya sahaja dengan berita yang baru sahaja disampaikan oleh Hilman. “Kahwin dengan Asha? You bergurau ke apa ni? Stop it okey! It’s not funny!”
Hilman tersenyum hambar. “I tak bergurau, Dani. I serius! Perkahwinan ni bukan boleh dibuat main. Ia untuk seumur hidup,” tegasnya.
Dhaniyah terkedu. “Habis tu, you nak kahwin dengan dia?”
“I have to,” jawab Hilman dalam keadaan keterpaksaan.
“But why?” protes Dhaniyah.
“Kalau I tak kahwin dengan Asha, I akan hilang jawatan CEO. Kalau I hilang jawatan tu, segala hak I dalam Halim Holdings pun hilang jugak. Apa lagi pilihan yang I ada?” balas Hilman lemah.
Dhaniyah menarik muncung panjang “Kalau you kahwin dengan dia, macam mana pula dengan I? Kita dah lama couple, sayang. You tak boleh tinggalkan I macam tu aje. I sayang you,” balasnya bersungguh-sungguh.
Hilman terdiam.
“Hilman Adrian!”
HIlman mengeluh. Dia mencapai kedua-dua belah tangan Dhaniyah, lalu membawanya ke bibir. Tangan Dhaniyah dikucup penuh syahdu. “Sayang, walau apapun yang berlaku, I tak akan tinggalkan you. You will be the first and the last one woman in my life, honey!” Dia melafazkan janji.
“Betul?”
Beria-ia Hilman mengangguk.
Dhaniyah ketawa sinis. “You akan berkahwin dengan Asha tau. Macam-macam benda boleh berlaku sepanjang tempoh perkahwinan tu.” Dia menyindir.
Hilman merenung wajah jelita Dhaniyah. “Even I dah jadi suami Asha, ia tak akan mengubah apa-apapun. Hubungan tu hanya akan tertulis atas kerja aje. You jangan risau, sayang. I tak akan tinggalkan you.” Sekali lagi dia melafazkan janji.
            “Janji?”
            Hilman mengangkat tangan kanannya, umpama sedang membaca ikrar. “I janji!”
Dhaniyah menarik nafas panjang. Mendengar lafaz janji yang terucap di bibir Hilman, sudah cukup membuat dia berasa lega. “Terima kasih, sayang.”
“Sama-sama, sayang.” Hilman membalas sambil mengusap lembut pipi Dhaniyah.


-----------------


ASHA tersentak apabila tiba-tiba sahaja telefon bimbitnya berdering nyaring. Serta-merta dia mencapai telefon bimbitnya di atas meja. Skrin telefon ditenung, hendak melihat si pemanggil yang menghubunginya. Demi melihat sebaris nombor yang tidak dikenali, dia berkerut dahi.
“Siapa pulak ni?”
Lantas, Asha menekan punat scroll lalu ibu jarinya ditolak ke tepi. Telefon bimbit itu diletakkan ke telinga. “Hello?” sapanya dengan suara sopan.
“Ni Asha Hasna ke?” soal satu suara di hujung talian.
Asha tercengang. Eh, macam mana dia boleh tahu nama penuh aku? “Err… ya, saya Asha Hasna,” jawabnya, masih lagi dengan nada sopan. Terpanggil hatinya untuk mengetahui siapa yang menghubunginya itu. “Err… maaf, ni siapa ya?” tambahnya ingin tahu.
“Aku.”
Berkerut dahi Asha. Erk, nama dia aku ke? “Yalah, siapa ni?”
Kedengaran suara itu berdehem keras. “Aku! Hilman Adrian!”
Asha terkedu. “Hil… Hilman?” Tergagap-gagap nada suaranya ketika menuturkan sebaris nama yang bakal menjadi suaminya tidak lama lagi.
Hilman tergelak sinis. “Kau tak perlu nak rasa terkejut bila dengar suara aku, Asha. Aku call kau ni pun bersebab tau. Kalau tak ada sebab, memang tak ada maknanya la aku nak bazirkan kredit aku untuk call kau.” Sempat lagi dia menyindir Asha.
Asha terus terdiam.
“Aku nak jumpa kau.” Hilman segera menyambung bicara apabila tiada tanda-tanda untuk Asha membalas sindirannya.
“Untuk apa?” soal Asha ingin tahu.
Hilman mendengus geram. “Tak payah nak banyak tanya, boleh tak? Ikut ajelah!” herdiknya dengan suara kasar.
Asha tergamam. Ni ke bakal suami aku? Ya ALLAH, benarkan keputusan yang aku ambil ini? Adakah dia calon yang tepat untuk menjadi imamku? Hatinya mula berasa keliru dengan keputusan yang diambil.
Hilman berdecit. Geram kerana setiap bait ayat yang dituturkan dibiarkan sepi tanpa sebarang jawapan. “Eh, dia ni… diam pulak! Jawablah! Mulut kau tu kena kepit dengan sepit ke hah?” Suaranya meninggi.
Asha tersentak. Lamunannya segera menghilang. “Err… awak cakap apa tadi?”
“Aku nak jumpa kau, faham?” herdik Hilman dengan nada kasar.
Asha tersenyum hambar. “Kat mana?”
“Kejap lagi aku whatsapp kau.” Tutt! Talian terus dimatikan.

Asha tergamam. Telefon bimbit diletak semula ke atas meja. Sebuah keluhan berat terhembus keluar dari bibirnya. Telefon itu ditenung sejenak. Ya ALLAH, kuatkanlah hati hamba-MU ini. Berilah aku kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi kerenah Hilman, doanya dalam hati.

Novel Lelaki Itu Jodohku 1

“SUBHANALLAH! Mana budak Fadli ni menghilang? Hari nikah dah tiba, tapi bayang dia belum muncul lagi,” Datuk Halim merenung tajam wajah Datin Rohaida. “Budak ni sengaja menconteng arang ke muka kita, Aida!”
“Fad mesti ada sebab yang memaksa dia buat macam tu, bang. Aida kenal Fad, dia tak akan sesekali melukakan hati Asha. Dia terlalu sayangkan Asha,” balas Datin Rohaida bersungguh-sungguh. Sedaya upaya membela anak terunanya yang tiba-tiba sahaja ghaib tanpa ada sebarang khabar berita.
Puan Zaryn mengukir senyuman penuh makna. “Masalahnya, budak tu tiba-tiba aje hilang. Telefon tak berangkat, SMS tak berjawab. Kita pergi rumah dia pun, tak ada orang. Haa… mana dia pergi? Mustahil la ghaib macam tu aje. Dia mesti ada agenda sendiri!” celahnya, sengaja hendak menyakitkan hati madunya itu.
Datin Rohaida menjeling tajam ke arah madunya. “Kak Aida kenal Fad. Dia tak akan buat perkara yang bukan-bukan, Ryn! Dia tak akan sesekali menconteng arang ke muka keluarganya! Kak Aida tahu, Fad masih berfikiran waras lagi!” Tegas nada suaranya ketika membela Fadli daripada terus menerima tuduhan madunya itu.
Puan Zaryn ketawa sinis. “Kalau betul dia masih boleh berfikiran dengan waras, kenapa tiba-tiba aje dia menghilangkan diri?” Dia terus-terusan menikam benak Datin Rohaida melalui bait-bait kata sinis yang dituturkannya.
Datin Rohaida mendengus. Semakin geram dengan tingkah laku Puan Zaryn. “Ryn ni kenapa hah? Nak bergaduh dengan akak ke?”
Puan Zaryn menayang memek muka tidak bersalah. “Ryn cuma…”
Datuk Halim merengus. “Kamu berdua ni kenapa hah? Yang nak bergaduh macam anjing dengan kucing tu, kenapa? Ini bukan masa untuk bertegang urat! Sekarang ni, kita kena cari jalan untuk selesaikan masalah ni!” potongnya dengan suara tegas. Membahang tangkai hatinya apabila melihat tingkah laku dua madu itu.
Dua madu itu terus mengunci bibir di saat sang suami mula berbicara.
Tiba-tiba, kedengaran Datuk Halim membuang keluhan. “Apa yang kita patut buat sekarang ni? Disebabkan Fadli, keluarga kedua-dua belah pihak mendapat malu. Kita perlu tebus semula kesalahan kita pada mereka.”
Datin Rohaida juga ikut sama mengeluh. “Kita nak buat apa lagi, bang? Saya pun dah buntu!”
Manakala Puan Zaryn hanya menayang memek muka sepuluh sen. Langsung tidak terkesan di hatinya dengan apa yang sudah menimpa keluarganya itu. Lantaklah, tak ada kena-mengena dengan dia pun!
Sejenak mereka terdiam, melayani perasaan masing-masing.
“Saya rasa,” Tiba-tiba Datuk Halim memecah keheningan sunyi. “Saya ada cara untuk selesaikan masalah kita.”
“How?” Dua madu itu menyoal serentak.
Datuk Halim mempamer senyuman penuh makna. “Kita gantikan Hilman di tempat Fadli. Kita kahwinkan Hilman dengan Asha. Hanya dengan cara itu aje yang dapat selamatkan maruah keluarga masing-masing,” balasnya beria-ia.
“Apa?” Membuntang terus mata dua madu itu.


---------------


TIDAK betah jadinya Hilman Adrian apabila melihat renungan orang tuanya itu. Berdebar-debar hatinya. “Kenapa pandang Hilman sampai macam tu sekali? Ada apa-apa yang tak kena ke?” soalnya, memecah keheningan sunyi yang sekian lama membelenggu segenap isi ruang tamu mewah itu.
            “Ehem!” Tiba-tiba, kedengaran Datuk Halim berdehem. “Papa ada sesuatu nak beritahu pada kamu, Hilman,” celahnya bersama segaris senyuman penuh makna di bibir.
            Berkerut dahi Hilman. “Apa dia, papa?”
            Datuk Halim tidak membalas. Sebaliknya, lelaki itu tetap mempamer senyuman penuh maknanya.
            Hilman menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Hatinya semakin diulit kehairanan demi melihat tingkah laku keluarganya. “Kenapa ni? Tolonglah jangan buat Hilman tertanya-tanya,” celahnya, tidak selesa dengan situasi yang sedang berlaku sesama mereka.
            Pandangannya teralih ke arah mama dan mummy. “Mama? Mummy? Apa semua ni?” tambahnya lagi.
            Dua  madu itu juga ikut sama berdiam seperti Datuk Halim. Langsung tiada tanda-tanda untuk memulakan bicara. 
            Hilman semakin resah. “Tolonglah jangan diam macam ni, papa!” tegasnya.
            Datuk Halim tersenyum. “Kamu tahu, peristiwa yang berlaku tempoh hari?”
            Berkerut dahi Hilman. “Peristiwa Fadli yang tiba-tiba aje ghaib semasa hari pernikahannya dengan Asha?” Dia mahukan kepastian.
            Datuk Halim mengangguk sebagai jawapan.
            “Apa kena-mengena dengan Hilman?” soalnya lagi. Semakin tidak mengerti maksud sebenar Datuk Halim. Apa sebenarnya yang ingin disampaikan oleh ayahnya?
            Rona wajah Datuk Halim berubah serius. “Papa nak kamu gantikan tempat Fadli. Papa nak kamu kahwin dengan Asha Hasna, Hilman Adrian!” balasnya dengan nada suara tegas. Mempamerkan kesungguhan di atas niatnya untuk menyatukan Hilman dan Asha sebagai pasangan suami isteri.           
Bola mata Hilman terus terbuntang luas demi mendengar permintaan itu. “Apa dia, papa? Ganti tempat Fad untuk kahwin dengan Asha? Maksudnya, papa nak Hilman jadi suami Asha?” Rona wajah terkejut membaluti segenap wajah kacaknya. Sungguh, dia benar-benar tidak menjangka permintaan sebegitu rupa boleh terdetik di benak fikiran ayahnya. Ah, gila ke apa?
“Ya Hilman, papa nak kamu kahwin dengan Asha!”
Nafas Hilman terasa semput. Sukar percaya dengan apa yang baru sahaja didengarinya sebentar tadi? Kahwin dengan Asha? “No, papa! I don’t want to married with her! I don’t love her, papa!” tegasnya. “Papa sendiri tahu, Hilman dah ada Dhaniyah. Hilman cuma sayangkan Dani seorang aje! Jadi, kenapa paksa Hilman buat kerja gila ni?” bentaknya. Memprotes seratus-peratus keputusan ayahnya itu.
“Si model jelita tu?” celah Datin Rohaida. Mengenangkan tingkah laku kurang sopan gadis seksi itu, serta-merta bibirnya membentuk cebikan. “Dia langsung tak sesuai dengan kamu, Hilman. Dhaniyah tu sosial orangnya, tak layak dibuat isteri. Mama langsung tak berkenan dengan dia.”
Hilman menoleh memandang mama, “Sekurang-kurangnya, Dani dapat bahagiakan Hilman, mama. Hilman tak pernah cintakan Asha. Hilman hanya sayangkan Dani seorang aje,” tegasnya untuk kesekian kalinya.
“Hilman?” tegur Datuk Halim.
Hilman mengalihkan pandangan ke arah papa.
“Cuba dengar cakap kami, Hilman. Kami buat semua ni untuk selamatkan maruah keluarga kita dan Asha. Fadli ghaib macam tu aje. Tolonglah Hilman, kahwini Asha,” pujuk Datuk Halim penuh mengharap.
“Fadli yang buat dajal, tapi kenapa Hilman yang kena tanggung akibatnya?” Semakin panas hati Hilman apabila terus-terusan dipaksa untuk mengahwini Asha.
Datuk Halim terkesima. “Hilman Adrian!”
Hilman membuang keluhan berat. “Tolonglah faham, papa, mama. Hilman tak nak kahwin dengan Asha. I don’t love her,” rayunya lagi. Berharap agar Datuk Halim dan Datin Rohaida mematikan niat gila mereka.
Datuk Halim pamer senyum sinis. “Kalau macam tu, bersiap sedia untuk hilang jawatan sebagai CEO Halim Holdings, Hilman Adrian!” ugutnya tiba-tiba.
Hilman terkedu.
“Abang!” Datin Rohaida tergamam.
Puan Zaryn membuntangkan matanya luas-luas. Tergamam tatkala mendengar ugutan yang terbit di bibir suaminya. Apa, hilang jawatan sebagai CEO Halim Holdings? Tidak! Walau apapun yang berlaku, dia tidak mahu Hilman digugurkan jawatan sebagai CEO. By hook or by crock, Hilman harus menikahi Asha!
Datuk Halim merenung tajam segenap wajah kacak Hilman. “Fikirlah, Hilman Adrian! Hilang jawatan sebagai CEO Halim Holdings ataupun berkahwin dengan Asha Hasna? Which one will be your choice?” tambahnya dengan nada sinis.
Hilman tergamam. Baru sahaja dia hendak memulakan bicara, tiba-tiba Puan Zaryn memotong percakapannya.
“Tak apa, bang. Biar Ryn yang pujuk Hilman!”
Hilman tersentak. “Mummy!”
Serta-merta, Puan Zaryn menarik lengan Hilman. Tanpa sempat berbuat apa-apa, dia terpaksa membuntuti langkah mummy meninggalkan ruang tamu mewah itu.


-----------------


“MUMMY nak Hilman kahwin dengan Asha!” tegas Puan Zaryn.
Hilman membuntangkan mata. “Mummy nak Hilman kahwin dengan Asha? No! Permintaan ni keterlaluan! She is not my taste! Hilman dah ada Dhaniyah. Hilman cuma sayangkan dia seorang aje. Tolong jangan libatkan Hilman dalam rancangan gila ni!” tegasnya.
Puan Zaryn memaniskan roman wajahnya. Sedaya upaya melenturkan kekerasan hati Hilman yang bersungguh-sungguh menolak keputusan suaminya itu. “Tak salahkan kalau Hilman kahwin dengan Asha? Lagipun, perkahwinan yang diatur keluarga ni membawa berkat,” pujuknya beria-ia.
Terjungkit sebelah kening Hilman demi mendengar kata-kata itu. Dia tergelak sinis. “Mummy ni buat lawak ke apa? Dulu mummy juga yang menentang keras masa Fad nak kahwin dengan dia. Kononnya, dia tak setaraf dengan keluarga kita. Sekarang mummy nak Hilman kahwin dengan dia? Apa semua ni? Permainan apa ni hah?” bidasnya.
Puan Zaryn terus terdiam.
“Kenapa mummy diam?” Hilman mempamer senyum sinis. “Hilman kenal mummy! Jadi, tak perlulah nak berlakon dengan Hilman. Hilman tahu, ada sesuatu yang sedang bermain di fikiran mummy,” tambah Hilman, menebak Puan Zaryn.
Puan Zaryn mengetap bawah bibirnya. Geram mendengar sindiran anak tunggalnya itu. Lantas, dia merenung tajam segenap wajah Hilman. “Hilman dengar sini, mummy tak nak Hilman hilang jawatan CEO. Sebab tulah mummy nak Hilman kahwin dengan Asha!” Akhirnya, dia menyatakan tujuan sebenarnya memaksa Hilman untuk menuruti kemahuan suaminya.
Hilman merengus. “Jangan paksa Hilman buat kerja gila ni, mummy! Hilman rela hilang jawatan CEO dari berkahwin dengan Asha!”
Puan Zaryn berdecit geram. “Susah sangat ke nak ikut cakap mummy? Mummy buat semua ni demi kepentingan kita!” Suaranya mula meninggi.
Aqasha mendengus. “Mummy nak Hilman jadi bidan terjun ke apa?”
Puan Zaryn mengukir senyuman penuh makna. “Mummy sanggup buat apa aje asalkan hak kita dalam keluarga ni tak hilang! Mummy tak nak jadi miskin macam dulu, Hilman! Jadi, mummy nak Hilman setuju dengan permintaan papa! Kahwin dengan Asha!” tegasnya lagi.
Hilman terkedu. “Mummy nak Hilman kahwin dengan Asha semata-mata untuk kepentingan mummy? Mummy sanggup perjudikan kebahagiaan anak sendiri?” Ya ALLAH… dia sungguh kecewa dengan sikap ibunya yang terlalu mengejar duniawi.
“Mummy tak peduli! Kamu tetap kena kahwin dengan Asha!”
“Mummy tak boleh paksa Hilman. Kahwin ni untuk seumur hidup!”
Puan Zaryn mendengus geram. “Kamu sanggup hilang jawatan CEO? Ni ke cara kamu membalas budi mummy yang telah bersusah payah membesarkan kamu, Hilman?” Sengaja dia meletakkan diri Hilman di dalam keadaan serba salah.
Mendengar kata-kata mummy, hati Hilman serta-merta diapit serba salah. Akhirnya, dia  mengeluh. “Okey, Hilman akan kahwin dengan Asha! Puas hati mummy?” Dia terus bangun lalu berjalan pergi meninggalkan mummy.

Puan Zaryn tersenyum jahat. Berjaya juga dia memujuk Hilman! 

Novel Lelaki Itu Jodohku PROLOG

ASHA HASNA memanjangkan lehernya ke luar rumah. Dia semakin resah gelisah. “Mana Abang Fadli ni? Kenapa dia tak sampai lagi?” Jari-jemarinya dipatah-patahkan. Acap kali keluhan berat terluah keluar dari bibir. Semakin resah kerana bayang pengantin lelaki masih belum kelihatan lagi.
Puan Fariha mengusap lembut tangan Asha. “Sabar, Sha. Kejap lagi pengantin lelaki sampai,” pujuknya.
Asha mendongak memandang wajah mama. “Sha rasa tak sedap hati, mama. Macam ada sesuatu yang bakal berlaku nanti,” luah Asha lemah.
“Jangan cakap macam tu, Sha. Jangan fikir yang bukan-bukan. Nanti lain pula yang jadi. Betul cakap mak cik, kejap lagi pengantin lelaki sampai,” celah Afidah beria-ia. Hiba hatinya apabila melihat situasi Asha. Alangkah malangnya nasib yang menimpa diri sahabat karibnya itu. Pengantin lelaki menghilang entah ke mana? Entahlah, dia sendiri pun tidak tahu.
“Kalau…”
“Syhh…” Puan Fariha meletak satu jarinya ke bibir Asha. “Jangan fikir yang bukan-bukan. Tak baik,” tegurnya tegas. Tidak suka mendengar kata-kata anak gadisnya itu.
Asha terus terdiam. Tidak semena-mena perbualan bersama tunangnya tempoh hari menerjah masuk ke kotak ingatannya.


--------------


BUNYI deringan telefon membuat kerja Asha menggubah bunga ros untuk hantaran perkahwinannya terhenti. Dia berkerut dahi. “Siapa pulak yang call ni?”
Telefon bimbit berjenama Samsung Galaxy S5 di atas meja dicapai. Dia melihat ke skrin. Segaris senyum lebar terhias di bibir demi melihat sebaris nama yang tertera di skrin. “Abang Fadli!” jeritnya dengan riak wajah teruja.
Pantas ibu jarinya menekan punat scroll lalu menolaknya ke tepi. Telefon bimbit sebesar telapak tangan itu kemudiannya diletak ke telinga kanannya. “Assalamualaikum, abang!”
“Waalaikumusalam, Sha!” balas Zul Fadli. “Sayang abang ni sihat ke? I miss you so much, dear,” luahnya penuh perasaan.
Asha tersenyum. “Sha pun rindukan abang,” balasnya bersungguh-sungguh. “Bila abang nak balik Malaysia? Majlis kita semakin dekat,” soalnya ingin tahu. Entah mengapa tiba-tiba sahaja hatinya menjadi sebak. Air matanya terasa seakan hendak jatuh berlinangan sahaja. Seolah-olah ada sesuatu yang bakal menimpa mereka.
Fadli mengeluh. “Bukan abang tak nak balik, Sha. Abang memang nak balik. Tapi… Sha tahukan kerja sebagai pegawai polis ni, macam mana? Tambah-tambah lagi bila kena ‘campak’ ke negara asing ni.” Dia membalas dengan suara lemah.
“Tak apa, Sha faham. Abang kan tolong orang lain yang berada dalam kesusahan,” balas Asha perlahan. Dia yang memilih untuk hidup bersama Fadli. Jadi, dia harus menerima rentak tugas Fadli yang tidak menentu.
Fadli tersenyum. Dia menarik nafas lega demi mendengar jawapan itu. “Terima kasih sebab faham kerja abang, Sha.”
“Tapi, bila abang nak balik?” Sekali lagi Asha menyoal. Dia mahukan kepastian yang tepat.
“Insya-ALLAH, abang akan balik. Sha jangan risau, ya. Abang akan sempurnakan majlis kita. Abang janji, sayang!” Fadli menabur janji.
“Janji?”
“Abang janji, sayang! Percayalah cakap abang. I will back for our wedding!”


--------------


LAMUNAN Asha menghilang apabila terdengar suara teguran Bazli. Dia merenung kosong wajah kacak abangnya.
Bazli membuang keluhan berat. “Abang harap, adik boleh terima berita ni dengan hati tenang. Redha, dik,” katanya dengan suara serba salah. Wajah itu tercalit riak mendung. Seolah-olah ada sesuatu yang sudah berlaku.
Asha mula tidak sedap hati. “Kenapa ni, bang?”
Bazli mengeluh. Kalaulah Asha tahu cerita sebenar… ya ALLAH!
“Kenapa diam ni, bang? Cakaplah!” desak Asha semakin berdebar.
Bazli menoleh memandang figura Encik Azman. Menghantar isyarat mata agar abah berterus-terang tentang perihal sebenar. Tidak sanggup rasanya dia hendak memberitahu perkara sebenar pada adiknya itu.
Encik Azman tersenyum hambar. Mengerti bahasa isyarat yang dihantar melalui mata Bazli. “Fadli…” Tersekat-sekat suaranya.
Asha terkedu. “Kenapa dengan Abang Fadli?”
Sekali lagi keluhan berat terhembus keluar dari bibirnya. “Fadli tak balik, Sha. Dia tiba-tiba ghaib,” beritahu Encik Azman dengan suara lemah.
Asha tergamam. “Apa?” Gedebukk!!! Dia terus rebah, pitam tidak sedarkan diri.
Seisi ruang tamu terkejut demi melihat reaksi Asha. “Asha Hasna!” jerit mereka serentak.



-----------

Imbas kembali…
ZUL FADLI meletak telefon bimbitnya ke atas meja. Gambar pertunangannya dengan Asha di skrin telefon ditenung sejenak. Dia tersenyum lalu mengusap lembut skrin. “Abang sayangkan Asha. Bukan setakat sayang, malah abang terlalu cintakan Sha. Hidup mati abang hanya untuk Sha seorang aje.”
Dia masih teringat saat kali pertama pertemuan mereka. Perkenalan mereka terjadi disebabkan tragedi pelanggaran di dalam tren. Pada ketika itu, dia mahu masuk ke dalam tren, manakala Asha pula mahu keluar. Berebut punya berebut, tiba-tiba mereka berlanggaran. Sebaik sahaja menatap wajah, ada rasa getar di hatinya. Saat itulah dia jatuh cinta pada Asha. Dan dia bertekad untuk menyunting gadis itu sebagai suri hidupnya.
Sejak peristiwa itu, mereka mula menjalinkan persahabatan. Dari ikatan persahabatan, bibit-bibit cinta mula bersemi di hatinya. Ternyata, dia tidak bertepuk sebelah tangan. Gadis itu juga turut mempunyai perasaan yang serupa sepertinya. Akhirnya, mereka membuat keputusan untuk mengikat pertunangan.
Namun, segala-galanya mula berubah apabila dia dihantar bertugas ke luar negara. Hampir setahun dia berada di bumi Gaza. Menyertai misi pengaman untuk membantu mangsa-mangsa kezaliman tentera Yahudi.
Disebabkan itu, mereka hanya berhubung melalui jarak jauh sahaja. Mujurlah ada teknologi canggih di zaman moden ini. Dapatlah dia mendengar suara dan melihat wajah Asha melalui panggilan video. Rasa rindunya yang membuak-buak pada tunangnya itu berkurangan.
Pomm!!!
Tidak semena-mena kedengaran bunyi bom dari luar bilik. Membuat Fadli tersentak. Bertambah terkejut, kedengaran bunyi tembak-menembak di luar. Serta-merta dia mencapai senjata api di dalam laci, lalu menyisipnya ke celah seluar. Dia membolos keluar dari biliknya. Alangkah terkejutnya dia demi melihat mayat-mayat bergelimpangan di sana sini. Peluru bersepai merata-rata tempat.
Dia terkejut apabila melihat figura sahabat karibnya, ASP Rahimy yang terbaring lemah berlumuran darah di atas lantai. Serta-merta dia menerpa ke arah sahabatnya itu.
“Remy, bertahan! Aku bawak kau pergi hospital,” kata Fadli beria-ia.
Nafas ASP Rahimy tercungap-cungap. Dia merenung lemah wajah Fadli. “Se… selamatkan diri, Fad! Di… diaorang dah datang!” katanya tersekat-sekat.
Fadli menggeleng. “Aku tak boleh biarkan kau, Remy!”
“La… lari cepat!” Akhirnya, ASP Rahimy meninggal dunia.
Fadli terkesima. “Remy!” jeritnya.
Tiba-tiba daun pintu terkuak luas. Fadli terkedu. Serta-merta dadanya berombak kencang. Gulp, dia meneguk liur. Pandangannya teralih ke muka pintu. Raifal yang tersisip kemas di celah seluarnya, serta-merta ditarik keluar. Raifal itu dihala ke muka pintu.
Tiba-tiba, muncul segerombolan tentera Yahudi berkulit gelap di muka pintu. Belum sempat dia melepaskan tembakan, beberapa orang tentera Yahudi itu sudah pun menembak tepat ke arahnya. Dua butir peluru tertusuk tepat ke kakinya. Manakala satu lagi peluru tepat mengena ke bahagian dadanya.
“ALLAH!” Fadli menjerit kesakitan. Dia memejam mata, menahan rasa pedih yang semakin menjalar bak akar ke segenap sanubari. Akhirnya, dia rebah. Pitam tidak sedarkan diri.


--------------


ASHA termenung jauh. Suara esak tangisan masih lagi terisi di segenap ruang biliknya yang sudah pun terhias indah itu. Bahagian bawah matanya itu kelihatan membengkak. Sejak menerima berita yang langsung tidak pernah melangkaui batas pemikirannya itu, gadis itu seakan-akan kehilangan semangat untuk meneruskan hidup. Seolah-olah separuh daripada jiwanya turut terkubur bersama berita sadis itu.
            “Ya ALLAH…” Dia memejam rapat bola matanya. Air mata tetap setia menemani kedua-dua belah pipinya. Acap kali dia menarik nafas dalam-dalam. Sedaya upaya memujuk hatinya supaya menerima takdir yang sudah tertulis itu.
            Bayangan wajah Fadli menjengah kotak ingatannya. “Sampai hati abang buat Sha macam ni…” rintihnya dengan suara hiba.
            “Sha?” Tiba-tiba, kedengaran satu suara menegur Asha dari arah belakang.
            Asha tersentak. Bola matanya semerta terbuka. Dia memusingkan kepalanya ke belakang. Demi melihat figura Afidah yang sedang berdiri di belakangnya, dia serta-merta bangun dari kerusi lalu memeluk kejap tubuh sahabat karibnya.
            “Fida…” Dia menghamburkan tangisan di dalam pelukan Afidah. Esakan tangisan semakin kuat kedengaran.
            Mendengar suara esak tangis Asha, air mata Afidah juga turut tumpah. Kesedihan seakan terasa menjerut tangkai hatinya demi melihat tingkah laku Asha. “Dahlah, janganlah menangis lagi. Usah dikenangkan apa yang dah berlaku. Bertabahlah, Sha,” pujuknya dengan suara sebak.
            Asha menggeleng lemah. “Macam mana aku nak lupakan apa yang dah berlaku ni, Fida? Semua ni terlalu menduga perasaan aku. Apa yang aku impikan selama ni, akhirnya terkubur macam tu aje. Apa dosa aku, Fida? Kenapa abang Fad buat aku macam ni? Apa salah aku pada dia?” balasnya sebak.
            Syhh… bisik Afidah perlahan. Rambut kerinting Asha diusap lembut. Cuba mententeramkan emosi Asha yang sedang gundah gulana. “Aku faham perasaan kau, Sha. Begitu peritnya hati dan merananya jiwa bila kehilangan insan yang tercinta dalam sekelip mata aje. Tapi, kau tak boleh terus macam ni. Kau kena kuatkan semangat. Kau kena lawan kesedihan. Jangan lemah, Asha.” Dia terus memujuk Asha.
            “Aku tak mampu, Fida. Dia dah belah hati aku. Dia dah tanam benih cinta dalam hati aku. Aku terlalu cintakan dia. Hati aku tak boleh terima apa yang dia dah buat pada aku. Aku sengsara.” Asha masih lagi merintih.
            “Sha…”
            Asha meleraikan pelukan. Wajah Afidah ditenung dengan pandangan hiba. “Dia dah berjaya takluk hati aku, Fida. Lepas tu, dia dengan sewenang-wenangnya pergi tinggalkan aku. Rupa-rupanya, nilah tujuan sebenar dia bila pikat hati aku. Tujuannya untuk buat hati aku terhiris luka. Sampai hati dia,” potongnya.
            “Janganlah cakap macam tu, Sha. Mesti ada sebab Fad buat macam tu. Dia terlalu sayangkan kau tau,” balas Afidah bersungguh-sungguh.
            “Tak!” Asha menggeleng laju. “Kalau betul dia sayangkan aku, dia tak akan buat macam tu pada aku. Dia tak akan lukakan hati. Dia juga tak akan hilangkan diri semasa hari pernikahan kami. Dia tak akan malukan keluarga kami,” balasnya tegas.
            “Sha…”
            Suara esak tangisan Asha semakin kuat. “Aku… aku…”
            “Dahlah,” Afidah menarik tubuh Asha ke dalam pelukan. Belakang tubuh gadis itu diusap perlahan. “Menangislah kalau itu yang boleh buat kau lepaskan semua kesedihan yang terbuku di hati kau. Lepaskan semuanya supaya hati kau lapang dan tenang, Sha,” pujuknya lembut.

            Asha tidak membalas. Sebaliknya, gadis itu terus menangis hiba mengenangkan tragedi perih yang menyinggah di perhentian hidupnya ketika ini.