Tuesday, 23 February 2016

Novel Mr. Singa Miss Selamba PROLOG

DERINGAN jam yang begitu nyaring berbunyi di atas meja, mengganggu lena Maira Qaisarah. Dia mengeliat panjang. Sebelah matanya dicelik. Seminit dua kemudian, bola matanya terpejam semula. “Huwwaaa… mengantuknya! Kenapa pagi cepat sangat? Kalau waktu malam berlarutan sampai bila-bila, kan best! Bolehlah membuta lama-lama!”
            Tidak semena-mena daun pintu biliknya diketuk bertalu-talu dari luar. Dek terkejut dengan bunyi itu, Maira segera meloncat turun dari katil lalu terus berdiri tegak. Dia berdecit geram. “Tangan siapa yang gatal ketuk pintu bilik aku pagi-pagi buta ni? Tak tahu ke yang aku tengah mengantuk?”
            “Hang tak bangun lagi ka?” Kedengaran suara jeritan Mak Uda Harlina dari luar.
            Maira menarik muncung sedepa tatkala mendengar suara itu. Tu dia… speaker Utara dah mai dah! Memang sesuai sangat kalau jadi speaker Dewan Rakyat ni! Tiap-tiap hari boleh berucap kat depan. Terpekik terlolong, bingit telinga dia!            “Hang tau dak la ni dah pukul berapa?” jerit Mak Uda Harlina lagi.            Maira tetap membisu. Malas hendak membalas panggilan ibu saudaranya.            “Hang dengaq ka buat-buat tak dengaq? Nak terkeluaq anak tekak aku ni panggil hang!” Mak Uda Harlina mula berjeda apabila tiada tanda-tanda untuk Maira membalas panggilannya.            Maira mengusap kasar kepalanya. “Mai dengarlah, Mai belum pekak lagi! Telinga Mai ni tak bersumbat dengan earphone!” Telinga Mai ni macam telinga gajah tau! Agak-agaknya, kalau tambah ayat itu, mak uda membebel tak? Mesti berasap telinga ibu saudaranya itu. Tidak pasal-pasal dia kena kejar dengan batang penyapu.            “Dengaq pun! Aku ingat dah pekak badak,” sindir Mak Uda Harlina lagi.            Membuntang mata Maira tatkala mendengar sindiran itu. Aku ni cun-melecun macam pelakon Janna Nick, tapi mak uda boleh samakan aku dengan badak? Hisy, tak patut!            “Awat hang diam? Hang dok membungkam atas katil lagi ka?” Mak Uda Harlina terpekik-pekik lagi.            Hisy, bisinglah mak uda ni! bentak hati Maira. “Mai dah bangun! Mak uda pergilah turun bawah. Kejap lagi Mai turun, Mai nak mandi!”            “Aku turun bawah na. Dalam masa setengah jam hang tak siap, aku terjah masuk bilik hang!” ugut Mak Uda Harlina.            “Yalah!” bentak Maira. Walaupun hatinya memprotes geram dengan tindakan Mak Uda Harlina yang mengganggu lenanya, namun dia tetap juga menggagahkan dirinya untuk bangun. Tidak sanggup rasanya hendak mendengar speaker Utara itu membebel lagi. Bingit!            Dia menyusun langkah menuju ke arah penyidai baju. Tuala berwarna merah yang tergantung di situ, bingkas dicapai. Kemudian, dia mengatur langkah menuju ke bilik air. Sebelum masuk ke dalam, sempat dia mengerling jam berbentuk hati yang tergantung di tepi dinding.            Melihat angka jam, semerta biji matanya terbuntang luas. Ternganga sedikit mulutnya. “Dah pukul 7.30 pagi? Patutlah speaker Utara tu membebel bagai nak terkeluar anak tekak. Rupa-rupanya, aku dah lambat.” Serentak itu, cepat-cepat dia membolos masuk ke dalam bilik air. 

-----------


MELIHAT figura yang sedang menyusun langkah menuju ke meja makan, Datin Marina serta-merta menegur, “Jom kita sarapan dulu.”

            Iqram Fattah yang begitu kacak dengan pakaian serba korporatnya sambil memegang briefcase, tersenyum tatkala mendengar kata-kata mama. “Tak apalah, mama,” Cawan berisi teh O dicapai. “Am minum teh aje. Am dah lambat ni. Kejap lagi, Am ada mesyuarat dengan staf-staf bahagian operasi,” beritahunya, lalu menghirup sedikit teh Onya yang masih lagi panas.

            “Makanlah sikit! Kalau kamu tak makan, nanti perut kamu tu masuk angin. Tak pasal-pasal kamu kena penyakit gastrik lagi,” Datin Marina mula membebel. “Kamu tak ingat ke, betapa teruknya penyakit kamu sampai kena tahan wad? Kamu nak kena macam tu lagi ke?”

            “Am banyak kerja kat pejabat. Makan tu bila-bila masa pun boleh. Yang penting, Am kena habiskan kerja yang bertimbun kat sana. Semuanya perlukan perhatian Am,” tolak Iqram bersungguh-sungguh. Berharap agar Datin Marina memahami situasi dirinya.

            “Kerja tu tak pernah habis, Am!” Datuk Hakim yang kebetulan baru sahaja tiba di ruang makan, terus melabuhkan duduk di sebelah Datin Marina.              

            “Betul tu, dik,” Erika mencelah. “Makanlah dulu.”

      “Tapi…” Iqram agak keberatan hendak memenuhi permintaan itu.

            “Duduk dulu, Am!” tegas Datuk Hakim.

          Iqram berdecit. “Am ada mesyuarat dengan staf-staf Am, papa. Setiap hari rabu, kami akan bermesyuarat untuk mengukur prestasi kerja semua staf. Am kena pantau prestasi mereka. Am tak nak ada staf Am yang buat kerja ala kadar. Am kena pastikan mereka dapat capai piawaian syarikat kita,” tegasnya.           

            “Mesyuarat Am tu pukul berapa?” soal Erika ingin tahu.

            “9.00.”

            Jam tangan yang terikat di pergelangan tangan kanan, dikerling. “Sekarang baru pukul 8.10, dik. Lambat lagi. Ofis tu dekat aje dengan rumah kita,” balas Erika bersungguh-sungguh. Berusaha memujuk adiknya untuk bersarapan.

            “Tapi…”

            “Duduk dulu, Am! Mama nak kamu sarapan. Mama tak nak perkara buruk menimpa diri kamu!” tegas Datin Marina. Keras kepala betul anak aku yang seorang ni. Susah betul nak dengar cakap! Kena ketuk dengan kuali, baru dia nak dengar kot?

            “Tapi…” Iqram berkeras hendak menolak.

            “Ehem!” Deheman keras Datuk Hakim membuat kata-kata Iqram mati.

            Datuk Hakim merenung tajam segenap wajah Iqram. “Papa tahu, kamu tu seorang workaholic, Am. Tapi, janganlah kerja keras sangat. Kesihatan pun kena jaga!”

            Iqram mengeluh. “Yalah, Am duduk!” Akhirnya dia mengalah, lalu melabuhkan duduk di sebelah Erika. Sekeping roti sosej di atas piring dicapai, lalu disuap ke dalam mulut. Laju sahaja dia memakan roti sosej itu. 

---------------


MELIHAT jam digital yang terletak kemas di sebelah telefon meja, membuat Maira ternganga. “Alamak, dah pukul 8.10!” Tergesa-gesa dia menyusun langkah menuju ke meja makan.

            Puan Fadilah yang sedang menatang mangkuk berisi mi goreng bingkas meletak mangkuk itu ke atas meja. “Mai, meh duduk dulu. Sarapan sebelum pi kerja,” ajaknya. Dia melabuhkan duduk di sebelah Encik Azmil yang sedang menyuap mi goreng ke dalam mulut.

            “Tok sahlah, Mai dah lambat ni! Karang, tak pasal-pasal Mr singa tu naik angin sebab Mai lambat,” tolak Maira. Sekeping roti bakar yang sudah pun disapu dengan mentega, segera dicapai. Cawan berisi milo suam diteguk sedikit. Kemudian, dia menggigit hujung roti bakar itu dengan rakus.

            Terbeliak mata Puan Fadilah melihat tingkah laku Maira. “Hang ni tak senonoh la!” marahnya. “Duduk dulu. Makan sikit!” desaknya, geram dengan telatah tiga suku anak gadisnya itu. Ketegaq sangat! Suruh makan pun, susah nak dengaq ka?

            “Ala…” Maira tidak mempedulikan bebelan ibunya. “Mai dah lambat nak pergi kerja ni, mak. Kalau lambat, takut jalan sesak aje. Lagipun, Mai kan dah makan sekeping roti bakar? Sarapan pagi jugak kan?”

            Mak Uda Harlina mencemik muka. “Padan muka hang! Aku suruh kunci jam awal-awal, tapi hang tak mau. Kononnya, hang boleh bangun awal. Tapi tak sedar, tidur tu mampuih tak ingat dunia. Dah siang pun, tak sedaq.”

            “Mak uda!” Maira menjeling. Selamba badak aje mak uda sindir aku!

            Mak Uda Harlina tayang muka selamba. Seolah-olah tiada apa-apapun yang berlaku.

            “Haa…” Tiba-tiba kedengaran suara Encik Azmil mencelah. “Betui kata mak uda. Lain kali, kunci jam tu awal-awal. Tak dak la hang jadi kelam kabut waktu pagi. Ni kalau lambat pi kerja, mesti hang memandu macam pelesit jalanan kan? Kalau abah dapat tau hang drive laju, siap!”

            Semakin membuntang besar biji mata Maira. “Abah!” bentaknya dengan muka tidak puas hati. “Tiga lawan satu, jawabnya tigalah yang menang. Mana adil!”

            Mak Uda Harlina mempamer senyum sinis. “Hang terasa hati ka? Hang tu kalau tiduq, memang tiduq mati. Kalau letak bom kat sebelah hang, bukannya hang sedaq. Silap hari bulan, siap berpeluk sakan dengan bom tu. Mati pun, hang tak sedaq.” Sempat lagi dia menyindir Maira.

            Maira menarik muka cemberut. “Bab-bab menyindir orang ni, abah, mak dengan mak uda memang superb,” marahnya. “Dahlah, malas Mai nak layan. Buat sakit hati Mai aje. Mai nak pi kerja, lagi baguih!”

         “Aik, merajuk ka?” Giliran Puan Fadilah pula yang menyindir.            Maira mencebik. “Tak merajuk, tapi suka sangat!” Dia berloyar buruk di hadapan familinya.

         Encik Azmil menggeleng apabila melihat gelagat keanak-anakan Maira. Umur hampir mencecah ke angka 30an, tapi masih lagi berperangai seakan-akan anak kecil.

            Saki baki milo suam di dalam cawan, bingkas diminum sehingga habis. Seusai itu, dia bangun lalu bersalaman dengan keluarganya. “Mai pi dulu na?” Sesudah bersalaman, dia menyusun langkah menuju ke muka pintu.

            “Mai?” tegur Puan Fadilah.

         Langkah Maira semerta mati tatkala mendengar teguran ibunya. Dia segera menoleh ke belakang. “Ya, mak?”

            “Hang tak mau makan dulu ka?” tanya Puan Fadilah. Masih lagi tidak berpuas hati walaupun anak perempuannya itu sudah pun mengambil sekeping roti bakar dan secawan milo suam sebagai sarapan paginya.

            “Tak maulah, mak. Nanti…” Tidak semena-mena satu idea nakal menjengah ke kotak fikirannya. Membuat garis sengihan melebar di bibir Maira.

            Berkerut dahi Puan Fadilah. “Nanti apa?”

        Mata Maira melirik ke arah Mak Uda Harlina yang sedang menyuap sisa baki mi goreng ke dalam mulut. Sengihan tetap bergayut di bibirnya. “Kalau Mai makan banyak, nanti perut Mai meletup. Tak pasal-pasal Mai kena berebut bilik air dengan mak uda.” Selepas menuturkan ayat itu, cepat-cepat dia melangkah keluar dari ruang makan. Bimbang kalau-kalau mak uda naik angin. Haru-biru jadinya kalau mak singa sudah marah.

        Mak Uda Harlina terkesima. Membuntang besar bola matanya tatkala mendengar sindiran pedas Maira. “Maira Qaisarah!” Terherot-herot bibirnya menyumpah seranah anak suadaranya yang selamba badak menyindirnya.

            Hampir terburai tawa Encik Azmil dan Puan Fadilah, geli hati apabila mendengar sindiran Maira. Namun cepat-cepat mereka menahan tawa daripada meletus. Tidak mahu menyinggung hati adik bongsu mereka. Nanti tak pasal-pasal ada muka masam ala-ala kena simbah dengan asam jawa. 

No comments:

Post a Comment