Tuesday, 23 February 2016

Novel Mr Singa Miss Selamba 2

SAMBIL menggigil ketakutan, Maira melangkah menuju ke meja Sonia. Seusai tiba di meja Sonia, dia menarik nafas dalam-dalam. Tenang, Maira Qaisarah. Relax… Berulang kali dia memujuk hatinya supaya menjadi lebih tenang. Figura Sonia yang sedang tekun menaip sesuatu di papan kekunci komputer ribanya dikerling. Lantas, dia berdehem kecil. “Sonia?”

            “Hmm?” Sonia segera mengangkat muka tatkala terdengar namanya dipanggil. Tatkala melihat figura Maira, spontan dia mencemik muka. “Kau nak apa?” soalnya dengan nada kasar.

            “Encik Iqram ada kat dalam tak?” soal Maira. Mukanya kelihatan pucat.

            “Ada.”

            Maira semakin resah. Aduh, dia ada pulak kat dalam. Kan bagus kalau dia kena baham dengan singa. Senang hati aku, ngomel hatinya. Hisy, tak baik kau doakan yang buruk-buruk untuk dia. Sesinga dia pun, dia tetap bos kau tau. “Err… aku masuk dalam ya?” Dia meminta keizinan untuk masuk ke bilik Iqram.

            Membuntang biji mata Sonia tatkala mendengar permintaan Maira. “Kejap, jangan masuk lagi! Kau ingat pejabat Encik Iqram tu office bapak kau? Kau tak boleh masuk sesuka hati tau!”

            Tersentap hati Maira tatkala mendengar sindiran Sonia. Dia cukup pantang kalau ada orang menggunakan perkataan ‘bapa’ di sebalik pertelingkahan mereka. Namun sedaya upaya disabarkan hatinya untuk tidak melawan. Sabar Mai, biarkan aje nenek sihir ni nak cakap apapun. Kejap lagi, kau balunlah dia cukup-cukup! “Okey.” Dia cuba mengawal kemarahannya agar tidak nampak ketara.

            Sonia mengangkat ganggang telefon lalu meletakkannya ke telinga kanan. Angka bernombor dua ditekan. Seminit dua, kedengaran nada bersambut. Begitu lembut dan manja tingkah laku dan suara setiausaha gedik itu ketika sedang berbicara dengan Iqram di telefon.

            Tingkah laku itu membuat cebikan terbentuk di bibir Maira.  Geli-geleman jadinya apabila melihat lenggok Sonia ketika sedang bercakap di telefon. Iyuu… macam kucing gatal aje minah gedik ni, kutuk hatinya.

            Sesudah selesai berbicara, Sonia bingkas meletakkan ganggang telefon ke tempatnya semula. “Kau boleh masuk sekarang,” beritahunya.

            Diam, Maira membisu. Gadis itu kelihatan seolah-olah sedang termenung jauh.

            Berkerut dahi Sonia tatkala melihat tingkah laku Maira. “Hoi!” jerkahnya.

            Maira tersentak. “Haa… apa dia?” Terpinga-pinga dia memandang Sonia.

            Sonia mencemik muka. “Yang kau nak tersengih-sengih macam kambing tu, kenapa? Tak payah nak sengih sangatlah!” Dia mengukir senyum sinis. “Kejap lagi, telinga kau akan berasap bila dengar ceramah Encik Iqram,” sindirnya.

            Panas hati Maira mendengar sindiran itu. “Telinga aku yang berasap, bukan telinga kau,” Dia membalas senyum sinis Sonia. “Kalau telinga kau tu berasap jugak, nanti aku telefon bomba. Aku suruh dia orang semua sumpit telinga kau tu!” Haa… ambik kau, tak pasal-pasal dah kena sebijik dengan aku!

            Membuntang biji mata Sonia. “Kau jangan nak kurang ajar dengan aku, Maira! Aku tampar nanti!”

            Maira tertawa sinis. “Oh, tahu pulak kau nak marah? Sakit hati ke bila aku cakap macam tu?” Kau sentap ke? Padan dengan muka kau! Baru kau tahu langit ni tinggi ke rendah. Ada hati nak perli aku? Kau salah orang, okey! Ini Maira Qaisarah tau!

            Sonia menghentak meja. “Kau…”

        Belum sempat Sonia menghamburkan amarahnya pada Maira, tiba-tiba interkom berbunyi. Cepat-cepat dia mengangkat ganggang telefon. “Yes, boss?” ucap Sonia sambil terliuk-liuk manja. 

            Wajah Sonia tiba-tiba berubah kelat. Membuat kening Maira terangkat sebelah. Senyuman sinis semakin melebar di bibir. Hmm… mesti kena marah dengan Mr. singa tu kan? Ha ha ha… rasain lu! Tulah, nak sangat berdebat dengan aku kan?

            Ganggang telefon diletakkan kembali ke tempatnya. Sonia mengalihkan pandangannya ke arah Maira. “Pergi masuk sekarang!” tengkingnya garang.

            Dengan muka selamba badaknya, Maira membalas, “Okey!” Dia menghayun kaki menuju ke muka pintu, namun sekali lagi langkahnya mati apabila sindiran tajam Sonia singgah ke gegendang telinganya.

            “Bersiap sedia untuk disoal siasat.” Sempat lagi Sonia menyindir Maira. Siap tersenyum sinis lagi.

            “Okey.” Sekali lagi Maira membalas dengan muka selamba badaknya.

            Daun pintu bilik yang tertulis nama Iqram Fattah Datuk Hakim dan dibawahnya pula tertulis perkataan ‘Pengurus Operasi’ diketuk. Kedengaran bunyi perkataan ‘masuk’ dilaung dari dalam. Dengan lafaz bismillah, Maira memulas tombol pintu lalu membolos masuk ke dalam.

------

SESUDAH menutup rapat daun pintu, Maira memusingkan tubuhnya menghadap figura Iqram. Melihat wajah serius itu, semerta membuat tubuhnya menggeletar. Spontan liurnya diteguk. Hang nilah lutut, masa macam nilah hang nak ketaq na? YA ALLAH, selamatkanlah hamba-MU yang kerdil ni. Jangan biarkan Mr singa ni baham aku, doa hatinya bersungguh-sungguh.

            Iqram yang sedang menaip di papan kekunci komputer ribanya, spontan menoleh ke arah figura Maira yang masih lagi tercegat di muka pintu. Berkerut dahinya melihat telatah gadis itu. “Yang awak berdiri kat tepi pintu macam tiang bendera Malaysia tu, kenapa? Masuklah!” jerkahnya. Langsung tidak tercalit sebarang senyuman di wajahnya yang serius itu.

            Maira tersenyum kelat. “Baik, bos.” Dia berjalan ke hadapan meja Iqram, lalu berdiri di tepi kerusi.

            Dahi Iqram semakin berkerut melihat gelagat Maira. “Tak payah nak jadi patung depan saya, Maira. Duduk!” arahnya tegas.

            “Baik, bos.” Cepat-cepat Maira duduk di atas kerusi.

            “Wait for a while, I need to finish this,” ujar Iqram serius.

            Maira hanya diam membatu.

         “Ok, done!” Tiba-tiba Iqram bersuara. Memecah keheningan sunyi antara mereka.

            Membuat Maira tersentak, spontan dia menoleh ke arah Iqram dengan muka terpinga-pinga.         

       Sejurus selepas Iqram menutup komputer riba dan menolaknya ke tepi, dia mengalihkan wajahnya ke arah Maira. Dia menyandarkan tubuhnya ke belakang. Figura Maira ditenung tajam. Sengaja dia berbuat begitu. Hendak menerbitkan rasa bersalah di benak gadis itu.

      Tidak betah Maira jadinya apabila dirinya direnung sedemikian rupa. Spontan, dia tertunduk merenung ke lantai. Kalah dengan renungan tajam Iqram.

            Iqram mempamer senyum sinis. “Tadi, bukan main lagi awak menjawab setiap kata-kata saya. Awak langsung tak takut walaupun awak dah buat satu kesalahan berat. Sekarang nak balas renungan saya pun, jadi takut? Saya ingatkan awak ni seorang gadis yang berani, tapi rupa-rupanya pengecut.”

            Maira terkesima. Geram apabila mendengar sindiran pedas itu. Amboi, sedap aje mulut Mr. singa ni mengata aku. Nasib baiklah kau tu bos aku. Kalau tak, memang dah lama aku cincang buat daging bakar! Tapi tak apa, Maira. Memang dah salah kau kan? Redha ajelah!

            Spontan, dia mendongak memandang figura Iqram. “Saya betul-betul minta maaf, bos. Saya tahu, saya dah buat satu kesalahan besar. Saya tak patut lambat datang ke pejabat. Saya juga tak patut melawan kata-kata bos. Maafkan saya, ya?” Maira bersungguh-sungguh merayu. Tangan kanannya ditautkan ke tangan kiri, lalu digoncang berulang kali. Memohon maaf dari sang ketua.

            “Berikan saya lima sebab mengapa awak datang lambat ke pejabat hari ni?” ujar Iqram dengan suara tegas. Wajah Maira tetap ditenung tajam. Gayanya umpama seorang hakim yang sedang mendengar hujah pembelaan dari sang pesalah.

            Maira membulatkan matanya. Mulutnya ternganga. “Lima? Err… dua alasan aje, tak boleh ke, bos?” Aduh, mana aku nak cari lima alasan ni?

            Iqram mengukir senyum sinis. “No! I want five excuse from you, Miss Maira Qaisarah,” tolak Iqram tegas. “Tapi, saya tak nak dengar alasan yang tak masuk akal. Saya nak alasan yang munasabah! Faham?”

            Maira berdecit seketika sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Err…” Tergagap-gagap dia hendak memikirkan alasan yang munasabah.

            “Maira Qaisarah?” seru Iqram apabila tiada tanda-tanda untuk Maira bersuara.

            Maira menarik nafas panjang, lalu menghembus perlahan-lahan. “Sebab pertama, saya terlambat bangun pagi ni. Sebab kedua pula, jam loceng saya rosak. Sebab ketiga pula, tayar kereta saya pancit pagi tadi. Sebab keempat pula, traffic jammed. Sebab terakhir... err… saya terlupa hari ni kita ada mesyuarat.” Tu dia. Berdozen-dozen alasan yang tak masuk akal. Ah, tak kisahlah! Janji aku dapat bagi lima alasan yang Mr. singa ni nak!

            Iqram terlongo. Wajahnya berubah merah, tanda marah. “Tu aje ke alasan awak?” Dia ketawa sinis. “Awak tahu tak, semua alasan awak tu tak masuk akal tau. Banyak lagi alasan yang awak boleh reka, alasan tak masuk akal tu jugak yang awak bagi?”

            Dengan selamba badaknya, Maira menayang sengihan kerang busuk di hadapan Iqram. Siap menayang muka tidak bersalah lagi.

          Iqram menjeling tajam. “Tak payah nak sengih-sengih depan saya!”

            Sengihan Maira terus mati.

            “Kalau awak nak kerja, buatlah cara nak kerja. Office ni bukan rumah awak. Jadi, awak tak boleh datang ke pejabat sesuka hati aje. Semua syarikat yang beroperasi sama ada di dalam mahupun luar negara ada peraturan yang mewajibkan staf-stafnya patuhi, bukannya main redah sesuka hati. Awak…”

        Maira mengherot bibirnya. Sekejap ke kiri. Sekejap ke kanan. Wajahnya sudah masam mencuka. Aduh, bingitnya telinga aku mendengar bebelan Mr. singa ni!

       “Awak sepatutnya tunjukkan prestasi cemerlang pada syarikat. Kalau awak bersikap sambil lewa, macam mana syarikat nak beri anugerah pada awak?” tambah Iqram lagi.

            Maira  memerhati  raut  wajah  kacak  Iqram.  Fikirannya  mula  membayangkan  sesuatu. Semerta  dia  tersengih  lebar. Wajah kacak Iqram berubah menjadi kartun Donald Duck. Mulutnya yang masih ligat membebel mula memuncung panjang. Bebelan yang membingitkan gegendang telinganya itu pula berubah menjadi alunan muzik berentak kartun Donald Duck.

            Mulutnya bingkas ditekup rapat, sedaya upaya dia cuba menahan ketawa. Sungguh, hatinya bagaikan digeletek rasa geli hati. Ala… comelnya bos aku ni!

            Berkerut kening Iqram melihat gelagat Maira. Erk, aku tengah bercakap dengan dia, tapi dia boleh berangan? “Maira?” 

            Maira masih lagi dalam dunia khayalannya.

            Iqram mula panas hati. “Maira!” jeritnya lantang.

            Maira terkejut. Apa lagi? “Oh, muka kau macam Donald Duck!” latahnya tanpa sedar. Gara-gara terkejut, dia menggosok dada. Pergh, kuss semangat!

            Iqram membuntang mata. “Muka saya macam Donald Duck?”

            Maira terkesima. Terpinga-pinga dia memandang wajah Iqram. Apabila menyedari ketelanjurannya, nafasnya semerta menjadi semput. Wajahnya berubah kelat. Alamak, matilah aku! “Err…” Dia hendak mengungkap ayat maaf, namun kata-kata itu seakan-akan tersekat di kerongkong lehernya.

            “Awak memang sengaja buat hati saya panas kan? Dahlah datang lambat, berani melawan cakap saya pulak tu. Lepas tu, siap boleh samakan muka saya dengan Donald Duck. Hah, memang tak patut!” marah Iqram geram.

            Tu dia. Mr. singa dah naik hantu! Matilah… “Err…”

            “Cukup!” Telapak tangan Iqram diangkat ke hadapan muka Maira. “Saya tak nak dengar alasan apa-apa lagi. Sebagai balasan, awak dihukum!” tambahnya dengan muka serius.

            Maira terkedu. Mulutnya ternganga luas. “Dihukum?” Gulp, dia meneguk liur. “Hukuman apa, bos?”      

            Iqram mempamer senyum sinis. “Sebagai denda awak datang lewat ke tempat kerja, awak dilarang keluar makan tengah hari pada hari ni,” balasnya dengan suara tegas.

            Mata Maira terus menjadi bulat. Terkejut dengan hukuman yang dijatuhkan kepadanya. “Haa?” Terkebil-kebil matanya memandang Iqram. “Tapi hukuman ni keterlaluan, bos! Bos tak boleh buat macam tu pada saya. Kalau saya rasa lapar, macam mana?” bentaknya dengan muka tidak puas hati.

            “Oh, saya tak boleh buat macam tu pada awak?” Iqram ketawa sinis. “Habis tu, awak boleh pulak lawan cakap saya dan samakan muka saya ni dengan muka kartun Donald Duck?” sindirnya tajam.

            Maira tergamam. Terbelit lidahnya hendak membalas sindiran itu.

            Iqram mendengus. “Awak dengar sini baik-baik, saya tak nak dengar sebarang alasan daripada awak! Awak tetap akan dihukum!” tegasnya lagi.

            Maira menoleh memandang Iqram. “Tapi…”

“Awak bernasib baik tau sebab saya denda awak macam tu. Kalau saya suruh awak cuci tandas, awak nak buat?” bidas Iqram keras.

            Maira menarik muncung panjang. Mukanya cemberut. “Okey,” balasnya perlahan, redha dengan hukuman yang dijatuhkan oleh majikannya itu.

            “Dah, keluar! Saya banyak kerja lagi ni,” arah Iqram keras.

            Maira bingkas berdiri. Dengan langkah lemah longlai, dia terus membolos keluar dari bilik Iqram.

            Iqram tersenyum sinis. “Padan dengan muka kau, Maira! Puas hati aku!” Dia ketawa jahat.


No comments:

Post a Comment