Tuesday, 23 February 2016

Novel Mr Singa Miss Selamba 11

TAWA Maira meletus apabila teringatkan peristiwa pagi tadi. Hatinya digeletek rasa geli hati. Haa… padan dengan muka kau! Sesuka hati aje nak lemparkan tuduhan macam tu pada aku kan? Rasakan… kan dah kena sindir dengan aku, kutuk hatinya.
            Sedang mengelamun jauh, tiba-tiba bahunya disentuh dari belakang. Dia tersentak kecil. Seraya itu, dia memusingkan tubuhnya ke belakang. Sebuah cebikan muncul di bibir tatkala melihat figura Aladdin. Aduh, dia lagi... Kenapa kau tak lenyap terus aje dari muka bumi ni hah? “Hmm… kau nak apa?” Dia bertanya dengan suara dingin.
            Aladdin mempamer senyum manis. “Kau tengah buat apa tu, Maira?”
            Dia ni buta kayu ke apa? Aku tengah duduk sambil mengelamun pun, takkanlah tak nampak kot? “Aku tengah tengok TV, Din. Tengok cerita kartun Doroemon. Best tau! Nobita kena kejar dengan Giant. Padan dengan muka dia kan?” Maira berloyar buruk. Tanya lagi soalan sengal macam tu kat aku? Haa ambik, kan dah kena sebijik!
            Aladdin tertawa. “Kau ni kelakarlah, Mai. Tapi, muka kau nampak sweet sangat bila bergurau senda macam ni tau. Macam anak patung beruang pun ada.” Dia memuji.
            Maira mencebik. Erk, rasa macam nak muntah hijau aje bila dengar pujian itu. Entahkan ikhlas, entahkan tidak. “Tak payah nak puji aku, Din. Meluat aku bila mendengarnya. Nak loya anak tekak aku ni,” kutuknya.
            “Kau ni, tak baik cakap macam tu tau. Aku puji kau seikhlas hati,” balas Aladdin beria-ia.
            Maira menjulingkan kedua-dua belah matanya ke atas. Dia mencebik. “Whatever! Huhh, menyampah!
            Aladdin menarik kerusi lalu meletakkannya ke sebelah Maira. Dia terus melabuhkan duduk. “Maira, kau dah breakfast ke belum? Kalau belum, jom temankan aku,” ajaknya bersungguh-sungguh.
            Maira berdecit geram. “Aku dah breakfast pagi tadi. Perut aku masih kenyang lagi ni. Kalau kau nak pergi, haa… pergi ajelah seorang diri. Kalau nak berteman, pergi ajak Hidayah. Dia tu memang suka kalau dapat makan percuma ni,” balasnya.
            Aladdin menarik muncung panjang. “Ala… jomlah temankan aku, Maira. Kalau kau tak nak makan, minum aje pun dah cukup,” rayunya.
            “Kau faham bahasa Melayu, tak? Ke kau nak aku cakap bahasa Siam? Dah aku kata tak nak tu, maknanya tak naklah! Susah sangat ke nak faham bahasa hah?” herdik Maira. Hilang sabar dengan telatah Aladdin.
            “Ala… jomlah!” Aladdin merayu lagi.
            Maira berdecit geram. “Kau faham bahasa, tak? Aku tak nak! T.A.K tak, N.A.K nak, tak nak! Faham?” Ambik! Tak pasal-pasal aku eja satu per satu. Kalau tak faham jugak tu, tak dapek den nak menolong aih.
            “Tapi…” Belum sempat Aladdin membalas kata-kata Maira, tiba-tiba kedengaran suara Hidayah menegur mereka.
            “Mai, bos panggil kau,” beritahu Hidayah.
            “Oh, okey!” Maira segera bangun lalu berjalan pergi meninggalkan meja kerjanya. Fuh, lega! Nasib baiklah Dayah muncul tadi. Kalau tak, alamatnya matu kutulah aku nak layan dia yang tak reti-reti nak faham bahasa tu.

------------

TUK! TUK! TUK! Ringan tangan Maira mengetuk daun pintu bilik Iqram.
            Kedengaran bunyi laungan suara dari dalam bilik. “Masuk!”
            Maira memulas tombol pintu bilik, lalu menolak daun pintu ke dalam. Dia berdiri sejenak di muka pintu. “Bos nak jumpa saya ke?”
            Iqram yang sedang menaip di papan kekunci ribanya, serentak mendongak memandang figura Maira. “Hmm… saya nak jumpa awak. Masuklah,” arahnya dengan muka serius.
            Melihat raut wajah Iqram yang kelihatan agak serius itu, Maira jadi gerun. Aku ada buat salah lagi ke? Dengan langkah menggigil, dia berjalan ke meja Iqram. Lalu, dia berdiri di tepi meja.
            “Duduk!” arah Iqram.
            Maira segera melabuhkan duduk di atas kerusi berdepan dengan Iqram.
            Iqram menutup komputer ribanya, lalu menolak ke tepi. Dia menoleh ke arah Maira. “Saya ada berita gembira untuk awak,” katanya sambil tersenyum.
            Berkerut dahi Maira. “Berita gembira apa, bos?”
            Iqram bersandar ke belakang. “Cuba awak teka.” Sengaja dia bermain teka-teki dengan Maira.
            Maira tercengang. “Haa?” Terpinga-pinga dia memandang wajah Iqram. Sungguh, dia jadi hairan dengan perubahan tingkah laku lelaki itu. Erk, dia ni dah kenapa? Bukan ke selama ini dia berperwatakan garang macam singa jantan? Tiba-tiba berubah jadi baik ni, kenapa? Biar tembikai?
            Iqram masih lagi tersenyum. “Hmm… tekalah.”
            Maira terdiam sejenak. Benak fikirannya diproses bagi memikirkan jawapan yang sesuai. “Hmm… bos baru menang hadiah cabutan bertuah kot? Tak pun, bos dapat durian runtuh. Haa… bos dapat duit terpijak sebanyak RM1 juta,” tekanya.
            Iqram tergelak lucu. Dia menggeleng. Geli hati dengan telatah Maira. Otak wayar putus betul! “Awak ni memang suka bercakap benda yang merapu-raban aje kan? Saya suruh awak teka, tapi awak bagi jawapan yang merepek-repek. Hmm… otak awak ni dah biul ya?” sindirnya dengan muka selamba.
            Buntang biji mata Maira mendengar perlian itu. Dia menarik muka cemberut. “Bos!”
            Iqram mempamer senyum sinis. “So, awak dah mengaku kalah la ni? Dah tak boleh nak teka?”
            “Cepatlah bagitahu saya! Berita gembira apa yang bos maksudkan tu?” desak Maira dengan muka tidak sabar.
            Iqram menarik laci meja di sebelah kiri. Segugus kunci dibawa keluar, lalu disua ke arah Maira. “Nah, ni kunci kereta awak. Saya dah minta tolong bengkel kereta buat kunci pendua untuk kereta awak. Saya dah tebus kereta awak tu. Jadi, awak dah boleh bawa kereta awak tu pulang hari ni,” katanya beria-ia.
            Maira tergamam. Kunci yang ada di pegangan Iqram ditenung tanpa berkedip. “Apa?”
            “Awak ingat tak, saya pernah cakap yang saya ada seorang kawan, yang bekerja kat DBKL? Saya minta diskaun untuk tebus kereta awak tu. Daripada RM300, dapatkan harga murah. Then, saya minta tolong driver papa ambikkan kereta tu dekat sana,” beritahu Iqram.
            Maira terkejut. “Apa, bos dah tolong tebus kereta saya? Bos ni biar betul? Bos bergurau dengan saya kan?” Sukar dia hendak percaya dengan kata-kata lelaki itu.
            Kening Iqram terjungkit sebelah. “Apa pulak yang tak betulnya? Sebab saya betullah, saya tolong tebus kereta awak tu. Takkanlah saya nak biarkan kereta awak terus tersadai kat sana?” sindirnya.
            Maira berdecit. “Tapi, saya tak nak menyusahkan bos.” Dia serba salah.
            “Maira, awak tak menyusahkan saya pun. Saya yang nak tolong awak. Haa… lagi satu, kenapa suka sangat guna perkataan ‘tapi’? Saya ni ikhlas tolong awak tau. Saya tak akan ungkit setiap pertolongan yang saya berikan pada awak,” balas Iqram dengan suara tegas.
            “Tapi…”
            “Tak ada tapi-tapi lagi, Maira! Dah, saya tak nak dengar sepatah kata pun dari mulut awak. Jangan nak banyak bunyi. Terima aje bantuan saya ni.” Iqram segera memotong.
            Aduh, ni yang aku tak suka ni! Dahlah aku tak berapa gemar nak terima bantuan orang lain. Hisy! “Berapa upahnya, bos? Nanti saya bayar balik ya.” Maira tetap berkeras tidak mahu menerima bantuan itu.           
            Iqram mendengus. “Tak payah bayar apa-apa kat saya. Saya ikhlas menolong awak!” Dia membalas dengan suara tegas.
            “Tapi…”
            “Shut up! Saya tetap tak nak terima hatta sesen pun duit awak, Maira Qaisarah! Saya ikhlas membantu awak. Jadi, ikhlaskan hati awak menerima pertolongan saya ni!” Sekali lagi Iqram memotong.
            Maira berdecit geram. “Ala…”
            “Dah, diam! Saya tak nak dengar apa-apa lagi! Pergi keluar, saya banyak kerja ni,” arah Iqram.
            Maira mendengus. “Yalah!” Kunci kereta di atas meja dicapai. Dia menoleh ke arah Iqram. “Terima kasih atas pertolongan bos.”
            “Sama-sama.”
            Maira menjeling. Dia bangun lalu terus melangkah keluar dari bilik ketuanya itu.
            Iqram menggeleng. Geram dengan sikap Maira. “Susah betul nak terima bantuan orang lain,” bebelnya geram.


No comments:

Post a Comment