MAIRA
menghempas punggungnya ke atas kerusi. Kunci keretanya diletak ke atas meja.
Dia merenung tepat ke arah kunci itu. “Kenapa dengan Mr. singa tu? Angin tak
ada, ribut tak ada, taufan jauhlah sekali. Tiba-tiba aje dia tolong tebus kereta aku tu. Dia dah kena sampuk
dengan hantu jembalang ke apa?” Dia berdesis sendirian.
Sedang
melayani perasaan, tiba-tiba bahunya disentuh dari belakang. Membuatkan dia
tersentak. Semerta dia menoleh ke belakang. Dia tersenyum apabila melihat
figura Hidayah sedang berdiri di belakangnya. “Oh… kau rupanya, Dayah. Aku
ingatkan siapa tadi?”
Hidayah
melabuhkan duduk di sebelah Maira. Dia merenung wajah kawan baiknya itu. “Bukan
main dalam lagi, kau tenung kunci kereta kau tu. Kenapa, Mai? Ada apa-apa yang
tak kena dengan kunci tu ke?” Dia menyoal dengan memek muka ingin tahu.
Maira
memuncung bibir. “Aku rasa pelik, Dayah!”
Berkerut
dahi Hidayah. “Pelik? Kenapa pulak? Kepala aku ni ada tanduk ke?” Dia menayang
memek muka hairan.
Maira
menjeling. “Hisy, tak ada kena-mengena dengan kaulah, nenek!” bidasnya dengan
suara geram.
“Habis
tu, kenapa dengan kau? Kau ada masalah ke?” desak Hidayah lagi.
“Mr.
singa tu…”
Membuntang
biji mata Hidayah. “Kenapa dengan Encik Iqram tu? Kau buat apa pulak kali ni,
Mai?” Dia segera memotong sebelum sempat Maira menghabiskan bicara. Kelam kabut
kedengaran nada suaranya itu. Aduh, dia ni memang spoil tau! Kalau tak cari pasal dengan Mr. singa tu, memang tak sah
kan?
Maira
mengherot-herotkan bibirnya. Sekejap ke kiri, sekejap pula ke kanan. “Semalam
kereta aku kena tarik dengan trak tunda DBKL sebab aku parkir kereta tepi jalan
besar. Dalam aku duduk melangut mengenangkan nasib kereta aku tepi jalan tu,
tiba-tiba aje beg tangan aku kena ragut. Kebetulan, Encik Iqram lalu kat depan
bangunan pejabat kita ni. Bila dia tengok aku terbaring atas jalan, dia pun
datang tolong aku. Lepas tu, dia tolong bawak aku pergi klinik untuk cuci luka
sebab kena ragut. Then, dia bawak aku
pergi balai polis untuk buat report
berhubung kejadian ragut tu.” Satu per satu dia menceritakan peristiwa semalam.
Hidayah
tercengang. “Kau kena ragut? Apasal kau tak panggil aku? Bolehlah aku datang
tolong kau!” Risau jadinya apabila mendengar cerita Maira.
Maira menjeling. Erk,
soalan apa yang dia tanya aku ni? “Macam mana aku nak call kau? Phone aku dalam
beg tangan tu!” balasnya, geram dengan soalan yang terpacul keluar dari mulut
Hidayah.
Hidayah menepuk dahi.
“Lupa pulak aku,” Dia menyengih. “Habis tu, kau okey ke tak ni?” Dia
mempamerkan sikap mengambil berat perihal kesihatan kawan baiknya itu.
“Aku okey, Dayah. Kau
jangan risau. Luka aku pun tak teruk sangat. Sikit aje,” balas Maira. Tidak
mahu sahabat baiknya itu risau akan keselamatan dirinya.
Hidayah menghela nafas
lega apabila mendengar jawapan itu. “Syukur alhamdulillah, kau selamat,”
balasnya dengan nada lega. “Haa… lepas dia bawak kau pergi klinik dan balai
polis, apa yang berlaku?” Tidak sabar rasanya hendak mendengar cerita
selanjutnya daripada gadis itu.
Maira
mengukir senyuman kelat. Erk, nak cerita perkara sebenar ke? Kalau dia
ketawakan aku, macam mana? “Err…” Teragak-agak dia hendak berterus-terang.
Hidayah mendengus.
Geram melihat telatah Maira. “Tak payah nak selindung perkara sebenar daripada
aku, Mai! Terus-terang aje dengan aku!” desaknya, semakin tidak sabar hendak
mengetahui perkara sebenar.
“Err…” Maira
menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Dia tolong hantar aku balik rumah.”
Teragak-agak dia membalas.
Membuntang
terus biji mata Hidayah. Terkejut mendengar jawapan Maira. “Dia hantar kau
balik rumah?”
Maira
mengangguk. “Bukan setakat tu aje, dia siap tolong tebuskan kereta aku yang
kena tunda semalam tu. Segan aku jadinya tau! Bila aku nak bayar balik kos
tebus kereta aku tu, dia terus menolak,” tambahnya lagi.
“Apasal
pulak dia menolak?” soal Hidayah ingin tahu.
Maira
menjungkit bahu. “Manalah aku tahu!”
Semerta
senyuman penuh makna membentuk di bibir Hidayah sesudah Maira selesai
bercerita. “Wah, perkembangan baik ni!” balasnya bersungguh-sungguh.
Berkali-kali dia menjungkit keningnya ke atas. Terdetik sesuatu di benak
fikirannya.
Maira
tercengang. “Haa… perkembangan baik?” Dahinya berkedut sejuta.
“Kau
nak tahu sesuatu tak?” Hidayah sengaja berteka-teki dengan Maira.
“Apa dia?” soal Maira
semakin hairan.
Garis senyuman tetap
setia membaluti wajah Hidayah. “Aku rasa, hubungan kau dengan Encik Iqram akan
berkembang mekar suatu hari nanti tau.” Dia membuat andaian.
Terjegil biji mata
Maira tatkala mendengar andaian Hidayah. Dia melopong. “Berkembang suatu hari
nanti?” Kepalanya yang tidak gatal itu digaru-garu berulang. Tidak memahami
maksud sebenar kata-kata Hidayah.
Hidayah
mengangguk laju. “Hmm… bukan hubungan antara majikan dan pekerja,” tambahnya
lagi.
“Habis
tu, hubungan apa?” Maira masih lagi tidak mampu menangkap bahasa kiasan
Hidayah.
Hidayah
menepuk dahi. “Hisy, kau ni lambat pick
up la! Hubungan hati, faham? Pendek kata, kau dengan dia bakal jalinkan
hubungan cinta suatu hari nanti. Haa... lepas tu, upgrade jadi pasangan suami isteri. Wah, dapatlah aku merasa nasi
minyak kau, Mai!” Dia membalas beria-ia.
Maira
terpempan. “Apa?” Tawanya terus meletus apabila mendengar kata-kata Hidayah.
“Ha ha ha… pandai kau buat lawak, ya? Aku dengan Encik Iqram akan jadi pasangan
suami isteri? Nonsene! Perkara macam
ni tak akan sesekali berlaku pada kami. Lagipun, aku langsung tak ada hati kat
dia tau. Dahlah garang macam singa jantan. Haa… memang padanlah nama Mr. singa
tu dengan dia!” Bersungguh-sungguh dia menepis andaian Hidayah.
“Jangan
cakap sebarangan, Mai. Kalau masin mulut aku ni, macam mana? Alamatnya, kau
akan bergelar isteri kepada Encik Iqram. Mr singa dan Miss selamba! Wah,
pasangan yang ideal! Seorang garang macam singa jantan, seorang lagi selamba
badak macam tak ada perasaan. Memang sesuai sangat, bagai pinang dibelah dua,”
tegas Hidayah.
“Bagai
pinang dibelah dua?” Maira tergelak lucu. “Tolong jangan nak buat lawak, Dayah.
Serius, tak kelakar tau! Macam ikan yu dengan nemo adalah. Encik Iqram tukan…
sekali dia naik angin, macam ikan yu telan manusia kat tengah lautan tau. Hisy,
tak naklah aku bersuamikan lelaki macam dia. Omputeh say, not my taste!” Dia membuat aksi geli-geleman di
hadapan Hidayah.
“Kau
ni, tak baik mengutuk Encik Iqram tau. Ada ke patut kau samakan bos kita yang
kacak macam pelakon Syarul Ridzwan dengan ikan yu yang besar trang tang tang tu? Dia tak ada darah
keturunan ikan yu tau. Dia cuma garang aje. Mungkin sebab terjangkit dengan
singa jantan kot,” balas Hidayah.
“Ah,
tak kisahlah! Janji, aku tak bersuamikan lelaki macam dia. Sorry derr…” Maira membalas bersama cebikan di bibir.
Hidayah
mempamer senyum penuh makna. “Jangan yakin sangat, Mai! Nanti keyakinan kau tu
termakan diri sendiri pulak. Masa tu, nak menangis air mata darah pun tak ada
guna lagi.” Sempat lagi dia menyindir kawan baiknya.
“Hah,
tak ada maknanya! Dahlah, malas aku nak layan kau! Pergilah duduk kat tempat
kat tu,” balas Maira dengan suara geram. Malas hendak melayan telatah Hidayah.
Sungguh menjengkelkan!
Hidayah
terus bangun lalu berjalan pergi bersama sisa tawanya.
Maira
menarik muka cemberut. Aku dengan Mr. singa? Hah, memang taklah. Sorry!
-----------------
BUNYI ketukan pintu dari luar membuat
Datuk Hakim tersentak kecil. Spontan, dia menghentikan kerjanya lalu bibirnya
menyebut perkataan ‘masuk’.
Daun
pintu bilik terkuak. Tersembul figura Iqram di muka pintu. “Papa panggil Am
ke?” Dia mengukir senyum manis.
“Hmm…
masuklah, Am,” jawab Datuk Hakim sambil tersenyum.
Iqram
berjalan masuk ke dalam bilik itu. Dia melangkah ke arah meja, lalu melabuhkan
duduk di kerusi berhadapan dengan meja papa. “Kenapa papa nak jumpa Am?”
soalnya dengan riak muka ingin tahu.
Datuk
Hakim menarik laci meja lalu mengeluarkan sepucuk surat berwarna putih. “Nah.”
Dia menyua surat itu ke arah Iqram.
Berkerut
dahi Iqram. “Surat apa ni, papa?” Dia segera menyambut surat itu dari tangan
papanya.
“Buka
surat tu dulu. Baca sendiri!” arah Datuk Hakim.
Hujung
sampul surat dikoyak perlahan. Kemudian, isi surat di dalam sampul itu ditarik
keluar. Surat yang berlipat empat itu dibuka. Lalu, dia membaca isi surat itu.
Membuntang terus biji mata Iqram seusai selesai membaca surat itu. Cepat-cepat
dia membuang pandang ke arah papa. “Seminar keusahawanan?” Dia menayang memek
muka terkejut. Aduh, aku memang cukup anti dengan benda alah ni tau!
Datuk
Hakim mempamer senyum penuh makna. “Hmm… seminar keusahawanan,” tekannya.
Iqram
mengusap belakang kepalanya. Dia mula menjadi resah apabila memikirkan seminar
yang terpaksa dihadirinya. “Ala… papa kan tahu, Am tak suka pergi
seminar-seminar macam tu. Am bosanlah, papa!” rengeknya. “Kenapa papa tak
hantar Kak Erika aje?” Dia cuba menolak. Berharap agar papa menghantar orang
lain sahaja untuk menghadiri seminar itu.
“Nope!” tegas Datuk Hakim. “Sama ada
kamu suka atau tak, kamu tetap akan pergi seminar tu! Papa tak nak dengar
sebarang bantahan dari kamu, Am!” tegasnya.
Iqram
berdecit. “Tapi…”
“Dah,
cukup! Papa tak nak dengar apa-apa alasan lagi, Iqram Fattah!” Datuk Hakim
segera memotong sebelum sempat Iqram menghabiskan bicara.
Iqram
terus terdiam. Dia mati kutu. Benak fikirannya cuba diproses untuk mencari buah
idea bagi mengelak dari menuruti kemahuan papa, namun tidak berhasil. Argh!
Hatinya menjerit geram. “Yalah… Am pergi!” Terpaksa juga dia mengikut arahan
papa walaupun hatinya berkeras tidak mahu.
Datuk
Hakim tersenyum kemenangan. “Haa… kan bagus kalau macam tu! Lega hati papa bila
mendengarnya.” Puas hatinya kerana berjaya membuat anak lelakinya itu menuruti
kemahuannya.
Iqram
mengukir senyum hambar. “Hmm…” Dia membalas acuh tak acuh. Malas hendak
berdebat dengan papa. Buang masa dan tenaga aje.
Datuk
Hakim bersandar ke belakang. “Untuk mengelak kamu rasa bosan sepanjang seminar
berlangsung, papa benarkan kamu bawa salah seorang staf di jabatan kamu. Haa…
kamu pilihlah sesiapa aje dalam kalangan mereka. Papa tak kisah,” katanya
beria-ia.
Mata
Iqram terus membulat besar. Garis senyum lebar tersungging di bibirnya. Dia
mendongak, memandang tepat ke muka papa. “Betul ke ni, papa? Sesiapa aje?” Dia
mahukan kepastian.
Datuk
Hakim mengangguk. “Ya Am, sesiapa aje.”
Iqram
terus terdiam. Dia mempamer senyum lebar. Benak fikirannya sudah terbayangkan
wajah seseorang.
No comments:
Post a Comment