BISU!
Itulah
istilah tepat yang menggambarkan situasi Iqram dan Maira ketika ini. Lidah
masing-masing seolah-olah terkelu untuk memulakan bicara.
Maira
menoleh ke arah Iqram di seat sebelah. “Err… bos?” tegurnya. Sebetulnya, dia
tertanya-tanya. Siapakah figura seorang wanita yang datang menegur mereka
sebentar tadi? Apakah hubungan figura itu dengan Iqram? Mengapa rona wajah
Iqram berubah keruh apabila melihat wajah itu? Apa sebenarnya yang sudah
berlaku? Beribu-ribu soalan menikam benak fikirannya kala ini.
“Hmm?”
“Bos
okey ke ni?” Dengan teragak-agak, Maira menyoal. Sebetulnya, dia agak keberatan
hendak bertanya. Bimbang kalau-kalau dia dicop busy body. Namun, hatinya berasa terpanggil untuk mengetahui
perihal sebenar.
Iqram
mengukir senyum hambar. “Saya nampak macam okey ke?” Soalan berbalas dengan
soalan. Terselit nada lemah di setiap bait-bait ayat yang dituturkan.
Maira
tergamam. Dia jadi kaget mendengar kata-kata itu. “Err…” Tergagap-gagap dia
hendak menjawab.
Iqram
mengeluh. “Sebenarnya, perempuan yang tegur kita tadi tu, namanya Suraya. Dia…
dia bekas tunang saya.” Dia mula membuka kisah lama. Satu kitab sedih yang
sekali gus menyentap tangkap hatinya dan mengundang seribu satu rasa kecewa.
“Oh.”
Hanya sebaris kata itu sahaja yang terluah dari bibirnya. Melihat wajah lelaki
itu, Maira yakin bahawa pernah hadir satu memori sedih di dalam hidup lelaki
itu suatu ketika dahulu.
“Saya
rasa kecewa dengan semua perbuatan dia, Maira. Yalah, orang yang kita sayang
sepenuh hati, tiba-tiba aje lukakan hati dan hancurkan kepercayaan kita. Tapi
dalam masa yang sama, saya rasa bersyukur kerana ALLAH S.W.T dah buka mata dan
pintu hati saya untuk menilai sikap sebenar dia.” Iqram menambah.
Berkerut
dahi Maira. “Apa sebenarnya yang dah berlaku?”
Iqram
tersenyum hambar. “Dia curang pada saya, Maira. Bukan setakat tu aje, malah dia
dah melakukan satu dosa besar. Dia berdosa pada ALLAH S.W.T. Dia…” Ayatnya mati
di situ. Tidak sanggup rasanya hendak menghabiskan kata-katanya.
“Dia
apa?” potong Maira.
Iqram
mengeluh. “Dia berzina, Maira.”
Maira
tergamam. Dia terus terdiam membisu. Terkedu mendengar jawapan itu.
Subhanallah…
“Saya
minta maaf, Maira. Saya tak patut cerita semua sejarah silam saya pada awak.
Tak pasal-pasal awak dah terjebak dengan masalah saya. Saya pun tak tahu kenapa
saya boleh cerita semua ni pada awak.” Iqram serba salah.
Maira
tersenyum. “Tak apa, bos, Saya faham. Kadang-kadang, kita kena luahkan apa yang
terbuku di hati pada seseorang. Barulah hati kita rasa lebih tenang dan aman.
Lagipun, pendam perasaan ni sebenarnya tak baik untuk diri kita sebab ia boleh
rosakkan kesihatan diri dan emosi,” balasnya.
Iqram
mengangguk. “Terima kasih sebab sudi mendengar, Maira.”
“Sama-sama.”
Maira membalas.
Mereka
terdiam sejenak, melayani perasaan masing-masing.
Figura
Iqram yang sedang leka memandu, dikerling sejenak. Maira tersenyum.
Rupa-rupanya, terselit sebuah cerita duka di sebalik wajah serius dan sikap
tegas lelaki itu. Kasihan Iqram! Jahat betul bekas tunang Mr. singa ni. Dapat
tunang yang kacak, baik hati dan berkerjaya hebat macam ni pun, boleh lagi main
kayu tiga?
“Maira,
kita dah sampai ni.” Tiba-tiba Iqram menegur.
Maira
tersentak kecil. Lamunannya terus menghilang. Eh, dah sampai ke? Dia mengukir
senyuman. “Err… terima kasih sebab belanja saya, ya bos.”
“Sama-sama.”
Iqram membalas ringkas.
Maira
membolos keluar dari perut kereta. Sejurus itu, dia menyusun langkah menuju ke
lobi. Setibanya di hadapan pintu lif, dia menekan punat untuk ke tingkat atas.
Dia berdiri sejenak sambil mengelamun jauh.
Mengenangkan
sikap Iqram yang berlainan sekali terutama di pejabat, serta-merta mengundang
rasa aneh di benak Maira. Ada rasa gentar di hati. Namun, cepat-cepat dia
mengusir pergi rasa itu. Tidak mahu rasa itu semakin selesa bermukim di
hatinya.
Erk,
jangan buat kerja gila, Mai! Ingat, dia tukan Mr. singa. Garangnya mengalahkan
singa jantan! Hatinya segera memberi peringatan keras.
“Ehem-ehem!”
Tiba-tiba kedengaran suara deheman seseorang dari dalam lif.
Maira
tersentak. Terpinga-pinga dia memandang figura Iqram yang sudah pun berada di
dalam perut lif. Eh, bila masa dia masuk dalam lif?
Berkerut
dahi Iqram. “Awak tak nak masuk ke, Maira?” soalnya, hairan melihat telatah
Maira.
Merah
padam muka Maira mendengar teguran itu. Demi menyedari ketelanjuran diri, terus
dia tertunduk malu. Serentak itu, dia melangkah masuk ke dalam perut lif.
----------------------
MAIRA menutup fail yang sedang
disemaknya, lalu dia menolak fail itu ke tepi. Lehernya diurut perlahan, mahu
meredakan urat sarafnya yang terasa tegang. “Penatnya,” keluhnya. Dia menongkat
dagu. Matanya terpejam sejenak. Hendak merehatkan mindanya buat seketika. Tidak
semena-mena peristiwa sebentar tadi tertayang di layar ingatannya.
“Hai?”
sapa satu figura.
Serentak
Maira dan Iqram menoleh ke arah si empunya suara yang menegur mereka.
Melihat
figura Suraya yang sedang tersenyum menggoda itu, Iqram terus terkesima. Dia
berdecit geram. Aduh, masa-masa macam nilah alien ni nak memunculkan diri dia.
Dia ni betul-betul kacau daunlah! Hatinya membentak geram.
Maira
tercengang. Ternganga sedikit mulunya apabila melihat telatah gadis seksi itu.
Iyyu, gediknya! Ada jugak kembar si Sonia tu kat muka bumi ni ya? Tak sangka
aku!
Suraya
melabuhkan duduk di sebelah Iqram. “You buat apa kat sini, sayang?” Dia
mempamer senyum manja. Lengan sasa lelaki itu disentuh, lalu diusap lembut.
Segera
Iqram menepis kasar tangan Suraya. Naik geli-geleman jadinya apabila tangan
bekas tunangnya itu menyentuh lengannya. “I tengah main bola.” Dia membalas
acuh tak acuh.
Tawa
Maira hampir terburai mendengar sindiran itu. Dia mengerling wajah gadis seksi
itu. Haa kau… muka tu terus jadi kelat bila dengar sindiran pedas Encik Iqram.
Padan muka!
“You
ni… suka sangat berloyar buruk dengan I tau. Janganlah macam ni, sayang. I
tanya baik-baik kan. So, you jawablah
baik-baik.” Suraya membalas lembut.
“Dah
you tanya soalan sengal macam tu kat I. So,
I jawablah macam tu jugak.” Iqram menyindir. “Kan you dah nampak I tengah
makan, lagi nak tanya.” Dia menambah.
Suraya
terus terdiam. “Err… sayang?” Dia menegur setelah agak lama berdiam diri.
Iqram
buat-buat tak dengar. Siap menayang muka toya lagi.
Suraya
mempamer senyum menggoda. “Am… I miss you
so much, dear. You tahu tak, I rindu sangat dengan memori lama kita. You
selalu manjakan I, sayang. Pujuk I, bagi I hadiah… Hmm… dah lama kita tak
bermanja macam dulu kan?”
Iqram
tersenyum sinis. “Tak payah nak ungkit sejarah silam tu, Suraya! Benda dah lama
basi! You dah lupa ke? Bukan ke you penyebab hubungan kita terhenti sekerat
jalan? Jadi, buat apa you nak ingat memori tu lagi?” herdiknya dengan suara
kasar.
Suraya
terkesima. “Sampai hati you cakap macam tu pada I, Am. You dah tak sayangkan I
lagi ke? Am, I tahu I dah buat salah pada you. I sedar, I tak patut ambil
tindakan bodoh macam tu. Atleast, you
bagilah I satu lagi peluang untuk tebus kesalahan I. Please…” rayunya bersungguh-sungguh.
“Peluang?”
Iqram tertawa sinis. “Peluang tu dah tak ada bila you curang dengan I, Suraya.
You tahu tak, hati I jadi hancur dengan perbuatan you. I betul-betul rasa
kecewa. Dan rasa cinta yang pernah wujud di hati I ni dah lama terhakis padam.
I dah tak ada apa-apa perasaan pada you lagi,” tegasnya.
“Tapi…”
“Shut up, don’t mention anything. I dah
tak nak dengar sebarang alasan dari you lagi! Cukuplah, hati I dah cukup pedih
dengan apa yang you dah buat pada I.” Iqram segera memotong sebelum sempat
Suraya menghabiskan bicara.
Suraya
bengang. Bola matanya teralih ke arah Maira. Hatinya semakin terbakar. “You tak
boleh terima I sebab perempuan ni kan?” bidasnya mula meninggi suara.
Maira
terkesima. Eh, kenapa aku tiba-tiba aje terlibat ni? Hisy, tak boleh jadi ni!
Dia hendak membalas, namun Iqram terlebih dahulu bersuara.
“Jangan
buat tuduhan melulu, Suraya! Dia tak ada kena-mengena dalam hal ni!”
Suraya
ketawa sinis. “Oh, dia tak ada kena-mengena dengan you? Habis tu, kenapa susah
sangat you nak terima I semula? Mengaku ajelah, Am. Semuanya sebab perempuan ni
kan?”
Iqram
bengang. Ah, Suraya sudah melampau! Sengaja menduga kesabarannya. “Ain Suraya!”
Dia mula meninggikan suara. Hilang sabar dengan telatah gadis itu. Sikap gadis
itu cukup menjengkelkan!
Garis
senyum sinis masih menghiasi bibirnya. “Come
on, Iqram Fattah. Tell me the truth!” Suraya mengherdik keras.
“Ehem-ehem!”
Tiba-tiba Maira berdehem keras. Dia merenung tajam ke segenap wajah Suraya.
“Wahai Cik Suraya yang berpakaian seksi dan bermulut busuk macam bau longkang,
tolong jangan buat tuduhan yang bukan-bukan! Saya dengan Encik Iqram tak ada
apa-apa hubungan. Untuk pengetahuan cik, saya ni cuma pekerja Encik Iqram aje,
tak lebih dari tu!” Maira mula hilang sabar. Walaupun hatinya sudah terbakar,
namun dia tetap menayang muka selamba badak. Seolah-olah tiada apa-apa yang
berlaku.
Iqram
terkedu. Terpinga-pinga dia memandang wajah Maira. Serius, dia tidak menyangka
gadis itu begitu berani membidas Suraya. Gadis itu siap menayang muka selamba
badak lagi. Wah! Haa… ni barulah dikategorikan sebagai Miss selamba. Baguslah,
memang terbaik!
Rona
wajah Suraya terus berubah marah. “You…” Jari telunjuk Suraya hinggap ke muka
Maira.
Maira
segera menepis kasar tangan Suraya. “Sesuka hati aje cik nak tayang jari depan
saya. Saya gigit nanti, baru padan dengan muka cik tau!” Dia membidas lagi.
Iqram
terasa seakan hendak ketawa mendengar sindiran itu, namun segera ditahan. Tidak
mahu mengeruhkan lagi keadaan. Dia menoleh ke arah Suraya. Haa kau… padan muka!
Ni baru dinamakan buku bertemu dengan ruas.
Suraya
semakin bengang. “Kau…”
Tiba-tiba
Iqram berdehem. “Dahlah tu, Maira. Tak payah layan perempuan gila macam dia ni.
Buang masa dan tenaga aje. Jom kita pergi.”
Maira
mempamer senyum sinis. “Jom!”
Mereka
berdua bangun lalu berjalan seiringan meninggalkan Suraya di kafe itu.
Suraya
kaget. Terkedu dengan tindakan itu. “Iqram! Iqram!” Dia menjerit-jerit melaung
memanggil nama itu, namun bayang figura itu sudah pun menghilang di sebalik
dinding kafe. “Argh!!!” Dia menjerit geram.
No comments:
Post a Comment