BOLA mata Asha meliar ke sana sini,
mencari figura Hilman. Mereka berjanji untuk berjumpa berdekatan dengan tasik
di Presint 2 bagi membincangkan hal perkahwinan mereka. Usai bayang yang dicari
kelihatan, dia tersenyum hambar. Leka dia melihat figura Hilman yang sedang
duduk di kerusi batu sambil merenung tasik yang terbentang luas di hadapan
mata.
Serentak itu, dia menarik nafas dalam-dalam, lalu menghembus keluar
perlahan-lahan. Kuatkanlah hatiku, ya ALLAH. Sempat lagi hatinya menitipkan doa
buat Yang Maha ESA. Dengan langkah gementar, dia mengatur langkah menuju ke
arah Hilman.
Usai tiba di belakang Hilman, Asha berdehem halus. “Assalamualaikum?”
sapanya dengan suara lembut dan sopan.
Hilman yang sedang ralit merenung tasik itu, tersentak demi mendengar
teguran Asha. Dia menoleh memandang figura gadis itu. Segaris senyum hambar
terukir di bibir. “Waalaikumusalam!” balasnya sambil membetulkan duduk.
“Duduklah!” ajaknya sedikit kekok.
“Terima kasih.”
“Hmm!”
Sejenak mereka terdiam, melayani perasaan masing-masing.
Atas bawah, atas bawah, Hilman memerhati penampilan Asha. Spontan, dia mencebik.
Perempuan macam ni ke nak jadi isteri aku? Huhh, kekampungan sungguh! Langsung
tak menepati cita rasa aku! kutuknya dalam hati.
Walaupun tidak betah melihat renungan Hilman, Asha tetap cuba berlagak
selamba. Bibirnya terkunci rapat. Seolah-olah ada berkilo-kilo jongkong emas di
dalam mulutnya.
“Asha?” Hilman menegur setelah agak lama berdiam diri.
Asha menoleh memandang wajah Hilman. “Hmm?” Sedikit gugup dia membalas.
Hilman mengukir senyum sinis. “Pelik kan? Punyalah desperate nak bersuami, sampai sanggup jadikan
aku sebagai suami bidan terjun kau. Mana hilangnya maruah kau hah?”
Bertubi-tubi dia membidas umpama mesin gan.
Asha terkedu. Ayat yang terucap dari bibir Hilman itu menyentap tangkai
jantungnya. Dia terus berdiri. Merenung tepat ke segenap wajah Hilman. “Apa
maksud awak?” Rona wajahnya berubah kelat.
Hilman tertawa sinis. Sengaja ingin membakar hati Asha. “Tak betul ke apa
yang aku cakap ni, hmm? Fadli dah lari tinggalkan kau. Entah dia menghilang ke
mana pun, aku tak tahu. Sadisnya, kau boleh terfikir untuk jadikan aku sebagai
pengganti?” Sekali lagi dia membidas.
Asha tergamam. Hatinya terasa bagaikan disiat-siat. Sanggup Hilman
memalukannya sedemikian rupa? Dia bukan perigi mencari timba! “Awak tak berhak
menuduh saya sejauh tu, Hilman!” bidasnya.
“Tak payah nak berlakon baik, Asha. Lakonan kau tu kurang bermutu tau.
Langsung tak dapat beri apa-apa kesan pada aku. Betul kan tuduhan aku ni? Kau
sebenarnya desperate nak bersuami kan?” bidas Hilman
bersama segaris senyum sinis di bibir.
“Saya tak pernah tipu awak, Hilman! Tak pernah terlintas di benak fikiran
saya untuk bersuamikan lelaki macam awak! Papa, mama dan mummy awak yang datang
ke rumah saya. Mereka nak awak ganti tempat abang Fadli. Saya tak minta semua
tu!” Asha berusaha membela dirinya. Tidak mahu Hilman terus menyebarkan tuduhan
tidak berasas itu lagi.
Sekali lagi Hilman tertawa sinis. “Tak payah nak bagi bermacam-macam
alasan, Asha. Sebab kau, aku terpaksa kahwin dengan kau. Sebab Fadli lari
tinggalkan kau, papa paksa kita kahwin. Sampai sanggup ugut aku. Kalau aku tak
kahwin dengan kau, aku akan hilang jawatan CEO. Apa semua ni, Asha?”
Asha terpempan. Terkejut mendengar pengakuan itu. “Saya… saya…”
“Kau apa?” potong Hilman keras. “Semua ni salah kau, tau tak? kalau bukan
sebab kau, semuanya tak akan jadi macam ni!”
Air mata Asha terus merembes keluar. Pedihnya hati menerima tuduhan
sebegitu rupa. Ya ALLAH… “Kenapa awak tak menolak aje, Hilman?”
“Menolak?” Hilman tergelak sinis. “Aku tak nak hilang jawatan CEO. Sebab
tu aku terpaksa kahwin dengan kau!” Satu jarinya hinggap ke muka Asha. “Kau
dengar sini baik-baik, Asha Hasna! Aku bagi amaran keras! Walaupun kita dah
bergelar pasangan suami isteri, aku tak akan pernah anggap kau sebagai seorang
isteri. Faham?!”
Asha terkesima. Serta-merta dia mengelap air mata yang masih berbaki di
pipi. “Jangan risau, Hilman. Saya pun tak akan pernah menganggap diri saya ni
sebagai isteri awak!” Dia memulangkan paku buah keras. Seraya itu, dia terus berjalan
pergi meninggalkan Hilman.
“Nanti!” laung Hilman.
Langkah Asha mati. Namun, dia langsung tidak menoleh ke belakang.
“Memang aku kena jadi bidan terjun untuk jadi suami ekspres kau. Tapi,
aku tak akan sesekali jatuh cinta pada kau!” tegas Hilman.
Asha memejam mata. Dia menarik nafas panjang. Cuba menstabilkan emosi
diri. Lalu, dia berpaling ke belakang. “Saya tak akan harap apa-apa dari awak,
Hilman. Jangan risau!” Dia terus pergi meninggalkan Hilman. Sekali lagi air matanya
merembes keluar. Menangisi nasib dirinya yang malang. Ya ALLAH…
---------------
ASHA menangis semahunya. “Kenapa awak
tuduh saya macam tu, Hilman? Apa salah saya? Saya tak pernah minta semua ni
berlaku,” rintihnya sambil tersedu-sedan. Kata-kata Hilman umpama duri tajam
yang tertusuk ke tubuh manusia. Sungguh pedih dan berbisa!
“Saya tak pernah desperate nak bersuamikan lelaki macam awak,
Hilman. Tak pernah telintas di fikiran saya untuk jadi isteri awak. Kenapa awak
sanggup tuduh saya macam tu?” Sekali lagi dia merintih hiba. Sebak hatinya
apabila menerima kata-kata sinis daripada lelaki kacak itu.
Tidak semena-mena bayangan Fadli menerpa ruang matanya. “Abang, kenapa
buat Asha macam ni? Asha terseksa, bang. Asha merana disebabkan perbuatan abang.
Tolonglah pulang semula ke pangkuan Asha, bang. Asha tak sanggup hadapi semua
ni seorang diri. Asha betul-betul perlukan abang di sisi Asha sekarang ni.
Pulanglah, bang,” rintihnya lagi.
Serentak itu, janji yang pernah terucap di bibir Fadli kembali menyapa
ingatannya. “Abang janji,
sayang! Percayalah cakap abang. I will back for our wedding!”
Apabila teringat pada janji itu, tangisan Asha kembali kedengaran semula.
Teresak-esak tangisannya. “Abang janji, abang nak balik. Abang nak sempurnakan
impian kita untuk hidup bersama. Abang nak sempurnakan majlis perkahwinan kita.
Tapi, kenapa abang tipu Asha? Sampai hati abang…”
Bayangan wajah Fadli mula menghilang sedikit demi sedikit. Diganti pula
dengan bayangan wajah Hilman. Lelaki itu tersenyum sinis. Seolah-olah sedang
melemparkan kata-kata bisa buat dirinya. Ya ALLAH…
“Pelik kan? Punyalah desperate nak bersuami, sampai sanggup jadikan aku
sebagai suami bidan terjun kau. Mana hilangnya maruah kau hah?”
“Saya tak pernah mengayam impian untuk hidup bersama awak, Hilman! Saya
tak pernah cintakan awak! Saya cuma cintakan abang Fad seorang aje! Saya hanya
mahukan dia sebagai pendamping hidup saya, bukannya awak!” jerit Asha nyaring.
Melepaskan kesedihan dan kekecewaan yang semakin selesa menghuni sekeping
hatinya.
Tidak semena-mena, kata-kata amaran keras hinggap ke telinganya. “Kau dengar sini baik-baik, Asha
Hasna! Aku bagi amaran keras! Walaupun kita dah bergelar pasangan suami isteri,
aku tak akan pernah anggap kau sebagai seorang isteri. Faham?!”
“Memang aku kena jadi bidan terjun untuk jadi suami ekspres kau. Tapi,
aku tak akan sesekali jatuh cinta pada kau!”
“Jangan risau, Hilman. Saya tak perlukan cinta awak! Biarlah saya hidup
dengan momen-momen indah abang Fadli. Walaupun kita terpaksa berkahwin, saya
tetap tak akan anggap diri saya ni sebagai isteri awak!”
Sekali wajah Fadli menjengah kotak fikirannya. Membuat esak tangisannya
semakin kuat. “Asha rindukan abang. Baliklah…”
No comments:
Post a Comment