“SUBHANALLAH! Mana budak Fadli ni menghilang?
Hari nikah dah tiba, tapi bayang dia belum muncul lagi,” Datuk Halim merenung
tajam wajah Datin Rohaida. “Budak ni sengaja menconteng arang ke muka kita, Aida!”
“Fad mesti ada sebab yang memaksa dia buat macam tu, bang. Aida kenal Fad,
dia tak akan sesekali melukakan hati Asha. Dia terlalu sayangkan Asha,” balas
Datin Rohaida bersungguh-sungguh. Sedaya upaya membela anak terunanya yang
tiba-tiba sahaja ghaib tanpa ada sebarang khabar berita.
Puan Zaryn mengukir senyuman penuh makna. “Masalahnya, budak tu tiba-tiba
aje hilang. Telefon tak berangkat, SMS tak berjawab. Kita pergi rumah dia pun,
tak ada orang. Haa… mana dia pergi? Mustahil la ghaib macam tu aje. Dia mesti
ada agenda sendiri!” celahnya, sengaja hendak menyakitkan hati madunya itu.
Datin Rohaida menjeling tajam ke arah madunya. “Kak Aida kenal Fad. Dia
tak akan buat perkara yang bukan-bukan, Ryn! Dia tak akan sesekali menconteng
arang ke muka keluarganya! Kak Aida tahu, Fad masih berfikiran waras lagi!”
Tegas nada suaranya ketika membela Fadli daripada terus menerima tuduhan
madunya itu.
Puan Zaryn ketawa sinis. “Kalau betul dia masih boleh berfikiran dengan
waras, kenapa tiba-tiba aje dia menghilangkan diri?” Dia terus-terusan menikam
benak Datin Rohaida melalui bait-bait kata sinis yang dituturkannya.
Datin Rohaida mendengus. Semakin geram dengan tingkah laku Puan Zaryn. “Ryn
ni kenapa hah? Nak bergaduh dengan akak ke?”
Puan Zaryn menayang memek muka tidak bersalah. “Ryn cuma…”
Datuk Halim merengus. “Kamu berdua ni kenapa hah? Yang nak bergaduh macam
anjing dengan kucing tu, kenapa? Ini bukan masa untuk bertegang urat! Sekarang
ni, kita kena cari jalan untuk selesaikan masalah ni!” potongnya dengan suara
tegas. Membahang tangkai hatinya apabila melihat tingkah laku dua madu itu.
Dua madu itu terus mengunci bibir di saat sang suami mula berbicara.
Tiba-tiba, kedengaran Datuk Halim membuang keluhan. “Apa yang kita patut
buat sekarang ni? Disebabkan Fadli, keluarga kedua-dua belah pihak mendapat
malu. Kita perlu tebus semula kesalahan kita pada mereka.”
Datin Rohaida juga ikut sama mengeluh. “Kita nak buat apa lagi, bang?
Saya pun dah buntu!”
Manakala Puan Zaryn hanya menayang memek muka sepuluh sen. Langsung tidak
terkesan di hatinya dengan apa yang sudah menimpa keluarganya itu. Lantaklah,
tak ada kena-mengena dengan dia pun!
Sejenak mereka terdiam, melayani perasaan masing-masing.
“Saya rasa,” Tiba-tiba Datuk Halim memecah keheningan sunyi. “Saya ada
cara untuk selesaikan masalah kita.”
“How?” Dua
madu itu menyoal serentak.
Datuk Halim mempamer senyuman penuh makna. “Kita gantikan Hilman di
tempat Fadli. Kita kahwinkan Hilman dengan Asha. Hanya dengan cara itu aje yang
dapat selamatkan maruah keluarga masing-masing,” balasnya beria-ia.
“Apa?” Membuntang terus mata dua madu itu.
---------------
TIDAK betah jadinya Hilman Adrian
apabila melihat renungan orang tuanya itu. Berdebar-debar hatinya. “Kenapa
pandang Hilman sampai macam tu sekali? Ada apa-apa yang tak kena ke?” soalnya,
memecah keheningan sunyi yang sekian lama membelenggu segenap isi ruang tamu
mewah itu.
“Ehem!” Tiba-tiba, kedengaran Datuk
Halim berdehem. “Papa ada sesuatu nak beritahu pada kamu, Hilman,” celahnya
bersama segaris senyuman penuh makna di bibir.
Berkerut dahi Hilman. “Apa dia,
papa?”
Datuk Halim tidak membalas. Sebaliknya,
lelaki itu tetap mempamer senyuman penuh maknanya.
Hilman menggaru-garu kepalanya yang
tidak gatal. Hatinya semakin diulit kehairanan demi melihat tingkah laku
keluarganya. “Kenapa ni? Tolonglah jangan buat Hilman tertanya-tanya,”
celahnya, tidak selesa dengan situasi yang sedang berlaku sesama mereka.
Pandangannya teralih ke arah mama
dan mummy. “Mama? Mummy? Apa semua ni?” tambahnya lagi.
Dua
madu itu juga ikut sama berdiam seperti Datuk Halim. Langsung tiada
tanda-tanda untuk memulakan bicara.
Hilman semakin resah. “Tolonglah
jangan diam macam ni, papa!” tegasnya.
Datuk Halim tersenyum. “Kamu tahu,
peristiwa yang berlaku tempoh hari?”
Berkerut dahi Hilman. “Peristiwa
Fadli yang tiba-tiba aje ghaib semasa hari pernikahannya dengan Asha?” Dia
mahukan kepastian.
Datuk Halim mengangguk sebagai
jawapan.
“Apa kena-mengena dengan Hilman?”
soalnya lagi. Semakin tidak mengerti maksud sebenar Datuk Halim. Apa sebenarnya
yang ingin disampaikan oleh ayahnya?
Rona wajah Datuk Halim berubah serius.
“Papa nak kamu gantikan tempat Fadli. Papa nak kamu kahwin dengan Asha Hasna,
Hilman Adrian!” balasnya dengan nada suara tegas. Mempamerkan kesungguhan di
atas niatnya untuk menyatukan Hilman dan Asha sebagai pasangan suami isteri.
Bola mata Hilman terus terbuntang luas demi mendengar permintaan itu. “Apa dia,
papa? Ganti tempat Fad untuk kahwin dengan Asha? Maksudnya, papa nak Hilman
jadi suami Asha?” Rona wajah terkejut membaluti segenap wajah kacaknya.
Sungguh, dia benar-benar tidak menjangka permintaan sebegitu rupa boleh
terdetik di benak fikiran ayahnya. Ah, gila ke apa?
“Ya Hilman, papa nak kamu kahwin dengan Asha!”
Nafas Hilman terasa semput. Sukar percaya dengan apa yang baru sahaja
didengarinya sebentar tadi? Kahwin dengan Asha? “No, papa! I don’t want to married
with her! I don’t love her, papa!” tegasnya.
“Papa sendiri tahu, Hilman dah ada Dhaniyah. Hilman cuma sayangkan Dani seorang
aje! Jadi, kenapa paksa Hilman buat kerja gila ni?” bentaknya. Memprotes
seratus-peratus keputusan ayahnya itu.
“Si model jelita tu?” celah Datin Rohaida. Mengenangkan tingkah laku
kurang sopan gadis seksi itu, serta-merta bibirnya membentuk cebikan. “Dia
langsung tak sesuai dengan kamu, Hilman. Dhaniyah tu sosial orangnya, tak layak
dibuat isteri. Mama langsung tak berkenan dengan dia.”
Hilman menoleh memandang mama, “Sekurang-kurangnya, Dani dapat bahagiakan
Hilman, mama. Hilman tak pernah cintakan Asha. Hilman hanya sayangkan Dani
seorang aje,” tegasnya untuk kesekian kalinya.
“Hilman?” tegur Datuk Halim.
Hilman mengalihkan pandangan ke arah papa.
“Cuba dengar cakap kami, Hilman. Kami buat semua ni untuk selamatkan
maruah keluarga kita dan Asha. Fadli ghaib macam tu aje. Tolonglah Hilman,
kahwini Asha,” pujuk Datuk Halim penuh mengharap.
“Fadli yang buat dajal, tapi kenapa Hilman yang kena tanggung akibatnya?”
Semakin panas hati Hilman apabila terus-terusan dipaksa untuk mengahwini Asha.
Datuk Halim terkesima. “Hilman Adrian!”
Hilman membuang keluhan berat. “Tolonglah faham, papa, mama. Hilman tak
nak kahwin dengan Asha. I
don’t love her,” rayunya lagi. Berharap agar Datuk Halim dan Datin Rohaida
mematikan niat gila mereka.
Datuk Halim pamer senyum sinis. “Kalau macam tu, bersiap sedia untuk
hilang jawatan sebagai CEO Halim Holdings, Hilman Adrian!” ugutnya tiba-tiba.
Hilman terkedu.
“Abang!” Datin Rohaida tergamam.
Puan Zaryn membuntangkan matanya luas-luas. Tergamam tatkala mendengar
ugutan yang terbit di bibir suaminya. Apa, hilang jawatan sebagai CEO Halim
Holdings? Tidak! Walau apapun yang berlaku, dia tidak mahu Hilman digugurkan
jawatan sebagai CEO. By hook or by crock,
Hilman harus menikahi Asha!
Datuk Halim merenung tajam segenap wajah kacak Hilman. “Fikirlah, Hilman
Adrian! Hilang jawatan sebagai CEO Halim Holdings ataupun berkahwin dengan Asha
Hasna? Which one will be your
choice?”
tambahnya dengan nada sinis.
Hilman tergamam. Baru sahaja dia hendak memulakan bicara, tiba-tiba Puan
Zaryn memotong percakapannya.
“Tak apa, bang. Biar Ryn yang pujuk Hilman!”
Hilman tersentak. “Mummy!”
Serta-merta, Puan Zaryn menarik lengan Hilman. Tanpa sempat berbuat
apa-apa, dia terpaksa membuntuti langkah mummy meninggalkan ruang tamu mewah
itu.
-----------------
“MUMMY nak Hilman kahwin dengan Asha!”
tegas Puan Zaryn.
Hilman membuntangkan mata. “Mummy nak Hilman kahwin dengan Asha? No! Permintaan ni keterlaluan! She is not my taste! Hilman dah ada Dhaniyah. Hilman cuma
sayangkan dia seorang aje. Tolong jangan libatkan Hilman dalam rancangan gila
ni!” tegasnya.
Puan Zaryn memaniskan roman wajahnya. Sedaya upaya melenturkan kekerasan
hati Hilman yang bersungguh-sungguh menolak keputusan suaminya itu. “Tak
salahkan kalau Hilman kahwin dengan Asha? Lagipun, perkahwinan yang diatur
keluarga ni membawa berkat,” pujuknya beria-ia.
Terjungkit sebelah kening Hilman demi mendengar kata-kata itu. Dia
tergelak sinis. “Mummy ni buat lawak ke apa? Dulu mummy juga yang menentang
keras masa Fad nak kahwin dengan dia. Kononnya, dia tak setaraf dengan keluarga
kita. Sekarang mummy nak Hilman kahwin dengan dia? Apa semua ni? Permainan apa
ni hah?” bidasnya.
Puan Zaryn terus terdiam.
“Kenapa mummy diam?” Hilman mempamer senyum sinis. “Hilman kenal mummy!
Jadi, tak perlulah nak berlakon dengan Hilman. Hilman tahu, ada sesuatu yang
sedang bermain di fikiran mummy,” tambah Hilman, menebak Puan Zaryn.
Puan Zaryn mengetap bawah bibirnya. Geram mendengar sindiran anak
tunggalnya itu. Lantas, dia merenung tajam segenap wajah Hilman. “Hilman dengar
sini, mummy tak nak Hilman hilang jawatan CEO. Sebab tulah mummy nak Hilman
kahwin dengan Asha!” Akhirnya, dia menyatakan tujuan sebenarnya memaksa Hilman
untuk menuruti kemahuan suaminya.
Hilman merengus. “Jangan paksa Hilman buat kerja gila ni, mummy! Hilman
rela hilang jawatan CEO dari berkahwin dengan Asha!”
Puan Zaryn berdecit geram. “Susah sangat ke nak ikut cakap mummy? Mummy
buat semua ni demi kepentingan kita!” Suaranya mula meninggi.
Aqasha mendengus. “Mummy nak Hilman jadi bidan terjun ke apa?”
Puan Zaryn mengukir senyuman penuh makna. “Mummy sanggup buat apa aje
asalkan hak kita dalam keluarga ni tak hilang! Mummy tak nak jadi miskin macam
dulu, Hilman! Jadi, mummy nak Hilman setuju dengan permintaan papa! Kahwin
dengan Asha!” tegasnya lagi.
Hilman terkedu. “Mummy nak Hilman kahwin dengan Asha semata-mata untuk
kepentingan mummy? Mummy sanggup perjudikan kebahagiaan anak sendiri?” Ya
ALLAH… dia sungguh kecewa dengan sikap ibunya yang terlalu mengejar duniawi.
“Mummy tak peduli! Kamu tetap kena kahwin dengan Asha!”
“Mummy tak boleh paksa Hilman. Kahwin ni untuk seumur hidup!”
Puan Zaryn mendengus geram. “Kamu sanggup hilang jawatan CEO? Ni ke cara
kamu membalas budi mummy yang telah bersusah payah membesarkan kamu, Hilman?”
Sengaja dia meletakkan diri Hilman di dalam keadaan serba salah.
Mendengar kata-kata mummy, hati Hilman serta-merta diapit serba salah.
Akhirnya, dia mengeluh. “Okey, Hilman
akan kahwin dengan Asha! Puas hati mummy?” Dia terus bangun lalu berjalan pergi
meninggalkan mummy.
Puan Zaryn tersenyum jahat. Berjaya juga dia memujuk Hilman!
No comments:
Post a Comment