Tuesday, 23 February 2016

Novel Mr Singa Miss Selamba 6

PUAS Maira memikirkan keberadaan keretanya, namun dia tetap tidak mampu mengingatinya. Kepalanya yang tidak gatal itu digaru-garu. Berkerut-kerut dahinya. “Hisy, mana aku letak kereta ni?” soalnya.
            Setelah berupaya mengingati keberadaan keretanya itu, spontan bola mata Maira terbeliak luas. Ternganga sedikit mulutnya. “Alamak,” Dia menepuk dahi tatkala menyedari ketelanjuran diri. “Aku letak kereta kat tepi jalan besar. Kalau kena tarik dengan trak tunda ataupun kena saman dengan DBKL, macam mana? Aduhai!”
Serentak itu, tergesa-gesa dia menekan punat anak panah bawah. Lama menunggu, akhirnya daun pintu lif terbuka. Terkocoh-kocoh dia membolos masuk ke dalam perut lif. Punat berhuruf G ditekan. Daun pintu terus tertutup rapat.
            Setibanya di aras G, daun pintu lif terbuka. Maira tergesa-gesa membolos keluar dari perut lif. Langkah pantas dihayun menuju ke pintu lobi utama. Terkedek-kedek dia menyusun langkah ke tepi jalan besar.
Melihat bahu jalan itu yang kelihatan kosong tanpa terparkir sebarang kereta di situ, spontan membulat bola matanya terbeliak besar. Dia mula panik. “Mana kereta aku ni? Kan aku parking kat sini pagi tadi. Kenapa kereta aku tak ada kat sini?” Dia semakin gelisah.
            Berulang kali dia mengusap belakang tengkuknya. Itulah salah satu tabiatnya ketika sedang berada di dalam keadaan gelisah. “Nak buat macam mana ni? Macam mana aku nak balik? Hari dah malam ni.” Rasa macam hendak menangis aje bila kereta kesayangan hilang entah ke mana.
            Tidak semena-mena, bola matanya tertancap ke arah figura Pak Mat Jaga yang sedang bertugas di bahagian pintu masuk lobi utama. Semerta Maira mengorak langkah laju menuju ke arah figura itu. “Pak Mat?” tegurnya.
            Pak Mat Jaga serta-merta menoleh ke tepi. Bibirnya membentuk senyuman tatkala melihat Maira. “Ya Cik Maira, ada apa-apa yang boleh Pak Mat bantu?” soalnya.
            “Pak Mat nampak tak kereta saya?” soal Maira ingin tahu.
            Berkerut dahi Pak Mat Jaga. “Cik parking kereta cik tu kat mana?”
            “Tu,” Jari telunjuk Maira tertuding ke arah bahu jalan. Dia menoleh memandang figura Pak Mat Jaga semula. “Pak Mat nampak tak?” Sekali lagi dia menyoal.
            Pak Mat Jaga tersenyum hambar. “Sebenarnya…
            “Sebenarnya apa?” potong Maira sebelum sempat Pak Mat Jaga menghabiskan bicara. “Pak Mat jangan buat saya saspen.” Dia bertambah gelisah.
            “Kereta cik tu kereta Perodua Myvi berwarna ungu kan?” Pak Mat Jaga mahukan kepastian.
            Maira semerta mengangguk laju.
            Pak Mat Jaga mengeluh. “Sebenarnya, kereta cik tu dah kena tarik dengan trak tunda DBKL. Pak Mat dah cakap kat pekerja tu yang kereta tu kereta staf syarikat kita, tapi mereka tak nak dengar. Mereka cakap, cik letak kenderaan kat tempat yang tak sepatutnya. Sebab tulah mereka tarik kereta cik,” beritahunya satu per satu mengenai kejadian yang berlaku siang tadi.
            Membuntang biji mata Maira tatkala mendengar berita itu. “Kereta saya kena tarik?”
            Pak Mat Jaga hanya mengangguk.
            Tanpa mempedulikan Pak Mat Jaga itu, Maira mengatur langkah lesu menuju ke bahu jalan. Wajahnya kelihatan keruh.
Sesudah sampai di bahu jalan, dia melabuhkan duduk di atas tembok. Hujung siku kedua-dua belah tangannya diletakkan ke atas peha, lalu dia meletakkan dagunya di atas tangan. “Kenapa nasib aku malang sangat hari ni? Daripada pagi sampailah ke malam, macam-macam benda berlaku kat aku!” rintihnya.
            Tanpa dia sedari, ada dua figura lelaki bertubuh kurus keding yang sedang duduk di atas motor, memerhatikannya. Dua figura itu mengukir senyum penuh makna. Enjen motor dihidupkan. Lantas, dia menekan pedal minyak lalu motor bergerak laju menuju ke arah figura Maira.
            Maira terkejut tatkala sebuah motor tiba-tiba sahaja melintasi hadapannya. Bertambah terkejut lagi apabila beg tangan di atas ribaannya ditarik secara kasar oleh figura lelaki yang duduk di bahagian belakang.
            “Eh, apa ni?” Maira panik. Dia segera bangun. Beg tangan digenggam kuat. Menghalang daripada beg tangannya itu diragut oleh figura peragut itu.
            “Lepas!” jerit salah seorang peragut itu.
            Maira bertungkus-lumus menghalang peragut itu daripada meragut beg tangannya.
            Peragut di bahagian hadapan motosikal segera menekal pedal minyak untuk meningkatkan kelajuan motor itu.
            Dek tidak mampu menahan, Maira terjatuh ke atas jalan. Tubuhnya terseret sedikit. Dia menjerit nyaring apabila tubuhnya bergesel dengan permukaan jalan. “Tolong! Tolong! Tolong!” Terpekik terlolong suaranya meminta pertolongan. Namun tiada satu manusia pun yang sudi menghulurkan pertolongan.   
            Iqram yang kebetulan melalui jalan besar itu, berkerut dahi apabila melihat satu figura yang sedang terbaring mengiring di atas jalan. Semerta dia memberi signal kiri, lalu memberhentikan keretanya di situ.
            Seusai daun pintu kereta dibuka, cepat-cepat Iqram membolos keluar dari perut kereta. Dia menyusun langkah menuju ke arah figura itu. “Cik tak apa-apa ke ni?” Dia duduk melutut di sebelah figura itu.
            Maira menoleh tatkala mendengar satu suara menegurnya. Membuntang biji matanya tatkala melihat figura Iqram sedang duduk melutut di sebelahnya.
            Menyedari figura yang baru sahaja kena ragut itu adalah Maira, membuat bola mata Iqram terbuntang luas. “Maira?”


----------

MELIHAT figura Iqram yang masih lagi melutut di sebelahnya, semerta Maira bangun. Dia menjerit kecil apabila lututnya terasa sakit. “Ouch!”
            “Perlahan-lahan, Maira.” Iqram cuba membantu Maira untuk berdiri.
            “Hisy!” Maira segera menepis kasar tangan Iqram. “Tak payah nak sentuh sayalah!” marahnya. Memikirkan peristiwa yang menimpa dirinya sepanjang hari, spontan dia menarik muka cemberut. Ni semua kau punya pasallah! Dahlah tak bagi aku keluar makan tengah hari. Lepas tu sekarang, kereta aku kena tarik dengan trak tunda. Beg aku pulak kena ragut. Kenapa malang sangat nasib aku hari ni?
            Iqram mendengus. Geram dengan tingkah laku Maira yang berkeras tidak mahu menerima pertolongannya. Namun memikirkan tragedi yang menimpa gadis itu sebentar tadi, disabarkan hatinya untuk melayan kerenah gadis itu. “Awak buat apa kat sini?” soalnya ingin tahu.
            Maira tercengang apabila mendengar soalan Iqram. “Saya tengah mintak sedekah kat ni. Hmm… dapatlah dua tiga puluh ringgit hari ni. Bolehlah buat duit makan dalam seminggu.” Dia mula buat ayat loyar buruk. Apa punya soalan daa? Dah nampak aku baru lepas kena ragut, lagi nak tanya ke? Agak-agaknya, mata kau ni dah buta kot.
            Iqram menjeling geram apabila mendengar sindiran Maira. Erk, apa punya soalan yang kau tanya ni, Iqram? Kan dah terkena dengan Miss selamba ni, ngomel hatinya memarahi ketelanjuran diri.
            Tiba-tiba, Maira merengek bak anak kecil. “Haaa… apa yang patut saya buat ni? Beg saya dah kena ragut dengan perompak tarbus tu tadi! Dahlah ada harta karun dalam beg tangan saya tu!”  
            Terjungkit sebelah kening Iqram mendengar kata-kata Maira. “Harta karun?”
            Maira memasamkan mukanya. “Yalah, harta karun selonggok dalam beg tangan tu tau!” rengeknya lagi.
            Iqram menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Awak bawak emas ke apa dalam beg tangan awak tu? Patutlah kena ragut,” kutuknya.
            Terbuntang biji mata Maira tatkala mendengar sindiran Iqram. Semerta dia menoleh memandang figura Iqram dengan raut muka geram. “Bos tak payah nak sindir saya lebih-lebih ya? Dalam beg tangan saya tu, ada telefon bimbit, dompet, power bank, dan yang sewaktu dengannya. Bagi orang yang berpendapatan sederhana macam saya ni, semua barang-barang tu adalah penting!” bidasnya keras. “Lainlah macam bos ni, tak hairan dengan semua tu. Kalau barang tu hilang dalam sekelip mata, petik jari pun boleh dapat tau!” Dia terus menyindir Iqram.
            Iqram terkesima. Amboi, mulut Miss selamba tu betul-betul berbisa. Terasa hati aku dibuatnya! Tiba-tiba, dahinya berkerut seribu. Dia seakan baru tersedar sesuatu. “Kenapa awak duduk kat tepi jalan macam ni? Apasal tak balik rumah lagi? Mana kereta awak?” Bertubi-tubi soalan terlontar keluar dari bibirnya.
            Maira membuang keluhan berat. Dia menongkat dagu. “Sebenarnya…”
            “Sebenarnya apa?” celah Iqram apabila tiada tanda-tanda untuk Maira menghabiskan bicara.
            “Kereta saya kena tarik dengan trak tunda,” beritahu Maira dengan nada lemah.
            Iqram terlongo. “Kena tarik dengan trak tunda?” Dia ternganga. “Apa kesalahan yang awak dah buat, sampai kereta awak tu kena tarik dengan DBKL?” Sungguh, dia terkejut dengan jawapan itu.
            Maira menjuihkan bawah bibirnya ke depan. “Saya parkir kereta saya tepi jalan. Sebab tulah kereta saya kena tarik,” balasnya dengan suara lemah.
            Iqram tertawa sinis. “Yang pergi parkir kereta tepi jalan tu, kenapa? Awak sendiri kan tahu, kita tak boleh parkir kereta sesuka hati kat sini. Salah parkir, alamatnya kena tarik dengan trak tundalah.” Dia menyindir Maira.
            Maira terkesima. “Kalau bos nak sindir saya, lebih baik bos balik! Tak payah nak sakitkan hati saya lagi!” herdiknya, geram dengan tingkah laku ketuanya itu.
            Iqram tersenyum. “Habis tu, takkan saya nak biarkan awak seorang diri kat tempat macam ni? Macam-macam perkara buruk boleh menimpa diri awak tau,” balasnya bersungguh-sungguh.
            Maira mencemik muka. “Tak payah berpura-pura sibuk nak ambil berat perihal diri saya!” Dia terus mengherdik Iqram.
            Tergeleng-geleng Iqram melihat tingkah laku Maira. “Dah, awak tak payah nak membebel. Jom, saya bawak awak pergi klinik dan buat laporan polis. Lepas tu, saya hantar awak balik rumah.” Bersungguh-sungguh dia menghulurkan bantuan pada Maira.
            Maira tercengang. “Habis tu, macam mana dengan kereta saya?”
            “Takkanlah kita nak tunggu kat sini aje? Kereta awak tu dah kena tarik. Bukan senang kita nak tebus balik kereta awak tu tau. Kita kena pergi bayar kompaun dulu, barulah awak boleh dapat kereta awak tu. Kalau awak nak pergi tebus kereta awak sekarang ni,” Iqram mengerling jam yang terikat di pergelangan tangan kirinya. “Saya rasa tak sempat sebab sekarang dah malam. Esok ajelah awak pergi,” tambahya.
            “Tapi…”
            Iqram berdecit geram dengan telatah Maira yang begitu susah hendak menerima pertolongannya. “Awak tak perlu risau, Maira. Kereta awak tu dah selamat kat sana. Tak ada penyamun pun yang nak rompak kereta awak tu!” tegasnya. “Dah, jom saya bawak awak pergi klinik. Teruk sangat luka awak tu! Lepas tu, kita pergi buat laporan polis berhubung kes ragut.” Sekali lagi dia mengulangi kata-katanya. Mendesak Maira untuk menerima ajakannya.
            “Tapi…”
            “Kalau pasal kereta awak tu, awak jangan risau. Esok kita sama-sama pergi tebus kereta awak tu.” Sekali lagi Iqram memotong percakapan Maira.
            “Tapi…”
            Aduh, dia ni banyak bunyilah! “Kenapa awak ni suka banyak bercakap ya? Awak nak balik ke atau terus nak bertapa kat sini?” Iqram mula naik angin.
            Maira terdiam.
            Iqram berdecit. Ligat otaknya berfikir untuk mencari idea bagi memaksa Maira menerima pertolongannya. Tiba-tiba, terdetik satu idea di benaknya. Membuat dia tersenyum penuh makna. “Kalau awak tak nak saya hantar, tak apa. Tak berkudis pun kat saya. Awak tidur ajelah kat sini. Kalau ada hantu, awak tanggunglah sendiri! Saya tak nak tolong!” Sengaja dia menakut-nakutkan Maira.
            Membuntang terus biji mata Maira. “Hantu?” Gulp, dia meneguk liur. “Ada hantu ke kat sini?” Gerun jadinya dia tatkala mendengar perkataan itu.
            Iqram mengukir senyum sinis. “Ha’ah, ada bermacam-macam jenis hantu kat sini. Ada hantu pocong, pontianak, langsuir, macam-macamlah,” balasnya dengan nada berunsur saspen. “Hantu oversea pun ada tau.”
            Maira bertambah takut. “Han… hantu oversea?”
            “Hmm… ada dracula dan hantu cina kat sini,” tambah Iqram, terus-terusan menakutkan Maira.   
            Tubuh Maira terus menggigil ketakutan. Seram sejuk pun ada. Erk, banyaknya hantu kat sini? Apa, pejabat ni tempat pembiakan hantu ke? “Err… kalau macam tu, saya ikut bos ajelah.”
            Iqram tersenyum sindir. “Okey, jom!” Ha ha ha… tahu takut? Hmm… pengecut juga Miss selamba ni ya?
                             

-----------------

SUDAH naik kematu jari Mak Uda Harlina mendail nombor telefon bimbit Maira, namun langsung tidak berjawab. Asyik jawapan yang sama sahaja diterimanya. “Maaf, nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi. Sila cuba sebentar lagi.”
            Mak Uda Harlina mendengus. Dia meletakkan ganggang telefon di tempatnya semula. Silih berganti dia memandang wajah Encik Azmil dan Puan Fadillah. “Hmm… masih tak berjawab jugak.”
            Puan Fadillah mengeluh. “Ya ALLAH… mana budak Maira ni pergi? Dia dah lupa jalan pulang ke rumah ke?” Dia semakin dilanda risau.
            “Sabarlah Illa, Lina, kejap lagi budak Maira tu baliklah. Jangan risau ya, tahulah dia menjaga diri. Dia bukan kecik lagi, dah besar panjang,” celah Encik Azmil beria-ia.
            Puan Fadilah menoleh ke arah suaminya. “Saya ni bukannya apa bang, saya risau. Maira tu perempuan tau. Kalau apa-apa berlaku pada dia, macam mana?”
            Mak Uda Harlina mengangguk. “Betui tu, bang. Lina pun dah makin risau ni. Maira tak pernah buat perangai lagu ni tau. Awal-awal lagi dia akan bagitahu kita kalau nak balik lambat,” celahnya beria-ia.
            Encik Azmi tersenyum. “Dahlah, jangan fikir yang bukan-bukan. Sama-samalah kita doakan yang terbaik untuk Maira.” Dia sedaya upaya cuba menenangkan hati dua wanita itu.
            Dua wanita itu hanya mengangguk lemah.

            Sesekali dua wanita itu memanjangkan leher mereka ke luar rumah. Mengharapkan kepulangan Maira, namun langsung tiada tanda-tanda gadis itu akan muncul. Ya ALLAH… dimanakah gadis itu?

No comments:

Post a Comment