ASHA HASNA memanjangkan lehernya ke
luar rumah. Dia semakin resah gelisah. “Mana Abang Fadli ni? Kenapa dia tak
sampai lagi?” Jari-jemarinya dipatah-patahkan. Acap kali keluhan berat terluah
keluar dari bibir. Semakin resah kerana bayang pengantin lelaki masih belum
kelihatan lagi.
Puan Fariha mengusap lembut tangan Asha. “Sabar, Sha. Kejap lagi pengantin
lelaki sampai,” pujuknya.
Asha mendongak memandang wajah mama. “Sha rasa tak sedap hati, mama.
Macam ada sesuatu yang bakal berlaku nanti,” luah Asha lemah.
“Jangan cakap macam tu, Sha. Jangan fikir yang bukan-bukan. Nanti lain
pula yang jadi. Betul cakap mak cik, kejap lagi pengantin lelaki sampai,” celah
Afidah beria-ia. Hiba hatinya apabila melihat situasi Asha. Alangkah malangnya
nasib yang menimpa diri sahabat karibnya itu. Pengantin lelaki menghilang entah
ke mana? Entahlah, dia sendiri pun tidak tahu.
“Kalau…”
“Syhh…” Puan Fariha meletak satu jarinya ke bibir Asha. “Jangan fikir
yang bukan-bukan. Tak baik,” tegurnya tegas. Tidak suka mendengar kata-kata
anak gadisnya itu.
Asha terus terdiam. Tidak semena-mena perbualan bersama tunangnya tempoh
hari menerjah masuk ke kotak ingatannya.
--------------
BUNYI deringan telefon membuat kerja Asha
menggubah bunga ros untuk hantaran perkahwinannya terhenti. Dia berkerut dahi.
“Siapa pulak yang call ni?”
Telefon bimbit berjenama Samsung Galaxy S5 di atas meja dicapai. Dia
melihat ke skrin. Segaris senyum lebar terhias di bibir demi melihat sebaris
nama yang tertera di skrin. “Abang Fadli!” jeritnya dengan riak wajah teruja.
Pantas ibu jarinya menekan punat scroll lalu menolaknya ke tepi. Telefon
bimbit sebesar telapak tangan itu kemudiannya diletak ke telinga kanannya.
“Assalamualaikum, abang!”
“Waalaikumusalam, Sha!” balas Zul Fadli. “Sayang abang ni sihat ke? I miss you so much, dear,” luahnya penuh perasaan.
Asha tersenyum. “Sha pun rindukan abang,” balasnya bersungguh-sungguh.
“Bila abang nak balik Malaysia? Majlis kita semakin dekat,” soalnya ingin tahu.
Entah mengapa tiba-tiba sahaja hatinya menjadi sebak. Air matanya terasa seakan
hendak jatuh berlinangan sahaja. Seolah-olah ada sesuatu yang bakal menimpa
mereka.
Fadli mengeluh. “Bukan abang tak nak balik, Sha. Abang memang nak balik.
Tapi… Sha tahukan kerja sebagai pegawai polis ni, macam mana? Tambah-tambah
lagi bila kena ‘campak’ ke negara asing ni.” Dia membalas dengan suara lemah.
“Tak apa, Sha faham. Abang kan tolong orang lain yang berada dalam
kesusahan,” balas Asha perlahan. Dia yang memilih untuk hidup bersama Fadli.
Jadi, dia harus menerima rentak tugas Fadli yang tidak menentu.
Fadli tersenyum. Dia menarik nafas lega demi mendengar jawapan itu.
“Terima kasih sebab faham kerja abang, Sha.”
“Tapi, bila abang nak balik?” Sekali lagi Asha menyoal. Dia mahukan
kepastian yang tepat.
“Insya-ALLAH, abang akan balik. Sha jangan risau, ya. Abang akan sempurnakan
majlis kita. Abang janji, sayang!” Fadli menabur janji.
“Janji?”
“Abang janji, sayang! Percayalah cakap abang. I will back for our wedding!”
--------------
LAMUNAN Asha menghilang apabila terdengar suara teguran Bazli. Dia merenung
kosong wajah kacak abangnya.
Bazli membuang keluhan berat. “Abang harap, adik boleh terima berita ni
dengan hati tenang. Redha, dik,” katanya dengan suara serba salah. Wajah itu
tercalit riak mendung. Seolah-olah ada sesuatu yang sudah berlaku.
Asha mula tidak sedap hati. “Kenapa ni, bang?”
Bazli mengeluh. Kalaulah Asha tahu cerita sebenar… ya ALLAH!
“Kenapa diam ni, bang? Cakaplah!” desak Asha semakin berdebar.
Bazli menoleh memandang figura Encik Azman. Menghantar isyarat mata agar
abah berterus-terang tentang perihal sebenar. Tidak sanggup rasanya dia hendak
memberitahu perkara sebenar pada adiknya itu.
Encik Azman tersenyum hambar. Mengerti bahasa isyarat yang dihantar
melalui mata Bazli. “Fadli…” Tersekat-sekat suaranya.
Asha terkedu. “Kenapa dengan Abang Fadli?”
Sekali lagi keluhan berat terhembus keluar dari bibirnya. “Fadli tak
balik, Sha. Dia tiba-tiba ghaib,” beritahu Encik Azman dengan suara lemah.
Asha tergamam. “Apa?” Gedebukk!!! Dia terus rebah, pitam tidak sedarkan
diri.
Seisi ruang tamu terkejut demi melihat reaksi Asha. “Asha Hasna!” jerit
mereka serentak.
-----------
Imbas kembali…
ZUL FADLI meletak telefon bimbitnya ke
atas meja. Gambar pertunangannya dengan Asha di skrin telefon ditenung sejenak.
Dia tersenyum lalu mengusap lembut skrin. “Abang sayangkan Asha. Bukan setakat
sayang, malah abang terlalu cintakan Sha. Hidup mati abang hanya untuk Sha
seorang aje.”
Dia masih teringat saat kali pertama pertemuan mereka. Perkenalan mereka
terjadi disebabkan tragedi pelanggaran di dalam tren. Pada ketika itu, dia mahu
masuk ke dalam tren, manakala Asha pula mahu keluar. Berebut punya berebut,
tiba-tiba mereka berlanggaran. Sebaik sahaja menatap wajah, ada rasa getar di
hatinya. Saat itulah dia jatuh cinta pada Asha. Dan dia bertekad untuk
menyunting gadis itu sebagai suri hidupnya.
Sejak peristiwa itu, mereka mula menjalinkan persahabatan. Dari ikatan
persahabatan, bibit-bibit cinta mula bersemi di hatinya. Ternyata, dia tidak
bertepuk sebelah tangan. Gadis itu juga turut mempunyai perasaan yang serupa
sepertinya. Akhirnya, mereka membuat keputusan untuk mengikat pertunangan.
Namun, segala-galanya mula berubah apabila dia dihantar bertugas ke luar
negara. Hampir setahun dia berada di bumi Gaza. Menyertai misi pengaman untuk
membantu mangsa-mangsa kezaliman tentera Yahudi.
Disebabkan itu, mereka hanya berhubung melalui jarak jauh sahaja.
Mujurlah ada teknologi canggih di zaman moden ini. Dapatlah dia mendengar suara
dan melihat wajah Asha melalui panggilan video. Rasa rindunya yang membuak-buak
pada tunangnya itu berkurangan.
Pomm!!!
Tidak semena-mena kedengaran bunyi bom dari luar bilik. Membuat Fadli
tersentak. Bertambah terkejut, kedengaran bunyi tembak-menembak di luar.
Serta-merta dia mencapai senjata api di dalam laci, lalu menyisipnya ke celah
seluar. Dia membolos keluar dari biliknya. Alangkah terkejutnya dia demi
melihat mayat-mayat bergelimpangan di sana sini. Peluru bersepai merata-rata
tempat.
Dia terkejut apabila melihat figura sahabat karibnya, ASP Rahimy yang
terbaring lemah berlumuran darah di atas lantai. Serta-merta dia menerpa ke
arah sahabatnya itu.
“Remy, bertahan! Aku bawak kau pergi hospital,” kata Fadli beria-ia.
Nafas ASP Rahimy tercungap-cungap. Dia merenung lemah wajah Fadli. “Se…
selamatkan diri, Fad! Di… diaorang dah datang!” katanya tersekat-sekat.
Fadli menggeleng. “Aku tak boleh
biarkan kau, Remy!”
“La… lari cepat!” Akhirnya, ASP Rahimy meninggal dunia.
Fadli terkesima. “Remy!” jeritnya.
Tiba-tiba daun pintu terkuak luas. Fadli terkedu. Serta-merta dadanya
berombak kencang. Gulp, dia meneguk liur. Pandangannya teralih ke muka pintu.
Raifal yang tersisip kemas di celah seluarnya, serta-merta ditarik keluar.
Raifal itu dihala ke muka pintu.
Tiba-tiba, muncul segerombolan tentera Yahudi berkulit gelap di muka
pintu. Belum sempat dia melepaskan tembakan, beberapa orang tentera Yahudi itu
sudah pun menembak tepat ke arahnya. Dua butir peluru tertusuk tepat ke
kakinya. Manakala satu lagi peluru tepat mengena ke bahagian dadanya.
“ALLAH!” Fadli menjerit kesakitan. Dia memejam mata, menahan rasa pedih
yang semakin menjalar bak akar ke segenap sanubari. Akhirnya, dia rebah. Pitam
tidak sedarkan diri.
--------------
ASHA termenung jauh. Suara esak
tangisan masih lagi terisi di segenap ruang biliknya yang sudah pun terhias
indah itu. Bahagian bawah matanya itu kelihatan membengkak. Sejak menerima
berita yang langsung tidak pernah melangkaui batas pemikirannya itu, gadis itu
seakan-akan kehilangan semangat untuk meneruskan hidup. Seolah-olah separuh
daripada jiwanya turut terkubur bersama berita sadis itu.
“Ya ALLAH…” Dia memejam rapat bola
matanya. Air mata tetap setia menemani kedua-dua belah pipinya. Acap kali dia
menarik nafas dalam-dalam. Sedaya upaya memujuk hatinya supaya menerima takdir
yang sudah tertulis itu.
Bayangan wajah Fadli menjengah kotak
ingatannya. “Sampai hati abang buat Sha macam ni…” rintihnya dengan suara hiba.
“Sha?” Tiba-tiba, kedengaran satu
suara menegur Asha dari arah belakang.
Asha tersentak. Bola matanya semerta
terbuka. Dia memusingkan kepalanya ke belakang. Demi melihat figura Afidah yang
sedang berdiri di belakangnya, dia serta-merta bangun dari kerusi lalu memeluk
kejap tubuh sahabat karibnya.
“Fida…” Dia menghamburkan tangisan
di dalam pelukan Afidah. Esakan tangisan semakin kuat kedengaran.
Mendengar suara esak tangis Asha,
air mata Afidah juga turut tumpah. Kesedihan seakan terasa menjerut tangkai
hatinya demi melihat tingkah laku Asha. “Dahlah, janganlah menangis lagi. Usah
dikenangkan apa yang dah berlaku. Bertabahlah, Sha,” pujuknya dengan suara
sebak.
Asha menggeleng lemah. “Macam mana
aku nak lupakan apa yang dah berlaku ni, Fida? Semua ni terlalu menduga
perasaan aku. Apa yang aku impikan selama ni, akhirnya terkubur macam tu aje.
Apa dosa aku, Fida? Kenapa abang Fad buat aku macam ni? Apa salah aku pada
dia?” balasnya sebak.
Syhh… bisik Afidah perlahan. Rambut
kerinting Asha diusap lembut. Cuba mententeramkan emosi Asha yang sedang gundah
gulana. “Aku faham perasaan kau, Sha. Begitu peritnya hati dan merananya jiwa
bila kehilangan insan yang tercinta dalam sekelip mata aje. Tapi, kau tak boleh
terus macam ni. Kau kena kuatkan semangat. Kau kena lawan kesedihan. Jangan
lemah, Asha.” Dia terus memujuk Asha.
“Aku tak mampu, Fida. Dia dah belah
hati aku. Dia dah tanam benih cinta dalam hati aku. Aku terlalu cintakan dia.
Hati aku tak boleh terima apa yang dia dah buat pada aku. Aku sengsara.” Asha
masih lagi merintih.
“Sha…”
Asha meleraikan pelukan. Wajah
Afidah ditenung dengan pandangan hiba. “Dia dah berjaya takluk hati aku, Fida.
Lepas tu, dia dengan sewenang-wenangnya pergi tinggalkan aku. Rupa-rupanya,
nilah tujuan sebenar dia bila pikat hati aku. Tujuannya untuk buat hati aku
terhiris luka. Sampai hati dia,” potongnya.
“Janganlah cakap macam tu, Sha.
Mesti ada sebab Fad buat macam tu. Dia terlalu sayangkan kau tau,” balas Afidah
bersungguh-sungguh.
“Tak!” Asha menggeleng laju. “Kalau
betul dia sayangkan aku, dia tak akan buat macam tu pada aku. Dia tak akan
lukakan hati. Dia juga tak akan hilangkan diri semasa hari pernikahan kami. Dia
tak akan malukan keluarga kami,” balasnya tegas.
“Sha…”
Suara esak tangisan Asha semakin
kuat. “Aku… aku…”
“Dahlah,” Afidah menarik tubuh Asha
ke dalam pelukan. Belakang tubuh gadis itu diusap perlahan. “Menangislah kalau
itu yang boleh buat kau lepaskan semua kesedihan yang terbuku di hati kau.
Lepaskan semuanya supaya hati kau lapang dan tenang, Sha,” pujuknya lembut.
Asha tidak membalas. Sebaliknya,
gadis itu terus menangis hiba mengenangkan tragedi perih yang menyinggah di
perhentian hidupnya ketika ini.
No comments:
Post a Comment