Tuesday, 23 February 2016

Novel Mr Singa Miss Selamba 13

BOLA mata Iqram meliar ke sekeliling. Sekejap ke kiri, sekejap pula ke kanan. Bibirnya pula sudah terherot-herot, seakan sedang menggumam sesuatu. “Hmm… mana dia pergi ni?” Dia berdesis sendirian. Terdetik sesuatu di benak fikirannya. “Dia kat pantry kot.” Dia membuat telahan sendiri.
            Serentak itu, Iqram menyusun langkah menuju ke pantry yang terletak di sudut hujung jabatan operasi. Sebaik sahaja tiba di pantry, dia mengukir senyum lebar apabila bola matanya tertancap ke arah dua figura gadis yang sedang menikmati sarapan pagi sambil berbual-bual kecil itu.
            Lantas, dia menghayun kaki menuju ke arah dua figura itu. “Ehem-ehem!”
            Dua pasang mata itu spontan menoleh ke arah Iqram.
            Iqram merenung serius wajah Maira. “Saya ada sesuatu nak cakap dengan awak, Maira,” katanya dengan muka serius.
            “Apa dia, bos?” tanya Maira bersama kerutan di dahi.
            Iqram mengerling pandang figura Hidayah. “Tolong tinggalkan kami berdua, Dayah.”
            “Ok.” Terkocoh-kocoh Hidayah melangkah keluar dari pantry. Meninggalkan Iqram dan Maira sendirian di sana.
            Seusai bayang Hidayah hilang di sebalik pandangan mata, Maira menoleh memandang figura Iqram. “Tadi bos kata ada sesuatu nak cakap dengan saya. Apa dia?” Maira menyoal dengan memek muka ingin tahu. 
            Iqram tersenyum. Serentak itu, sepucuk surat yang sedang dipegangnya itu, bingkas disuakan ke arah Maira.
            “Apa ni, bos?” Maira merenung hairan sampul surat itu.
            Iqram berdecit geram. “Suratlah! Takkan bil elektrik pulak?” Sudah gaharu, cendana pula. Sudah tahu, lagi nak tanya?
            Maira menjeling geram apabila mendengar jawapan itu. “Saya tahulah! Apa, bos ingat saya tak pandai nak bezakan surat dengan bil elektrik ke? Saya belum rabun lagi tau!” bebelnya geram.
            “Dah tu, ambil ajelah! Tak payahlah nak banyak bunyi!” Iqram mengherdik geram.
            Eh, eh dia ni… nak marah-marah aku pulak! Aku tendang karang! Hatinya membentak marah. “Salah ke kalau saya nak tahu apa isi surat tu?”
            Iqram mendengus geram. Dia ni, membebel-bebel macam burung kakak tua aje! “Boleh tak kalau jangan banyak tanya? Bingit telinga saya ni bila mendengarnya. Bukak ajelah surat tu! Tengok apa yang tertulis di dalamnya.” Dia membidas dengan suara geram.
            “Hisy!” bentak Maira lalu merampas kasar surat yang dihulurkan Iqram itu. Serentak itu, Hujung sampul surat yang sudah pun terkoyak itu dibuka, lalu dia menarik keluar isi surat itu. Surat yang berlipat empat itu dibuka lalu dibaca.
Terbeliak biji matanya seusai selesai membaca surat itu. “Haa… seminar keusahawanan?” Dia mendongak memandang wajah Iqram. “Apa kena-mengena dengan saya pulak?” Terkebil-kebil dia memandang wajah kacak lelaki itu.
            Iqram mempamer senyum penuh makna. “Awak kena ikut saya pergi seminar tu, Maira. Ni atas arahan big boss, Datuk Hakim!” balasnya dengan suara tegas. Sengaja dia menekan perkataan ‘big boss’ supaya Maira tidak mencari alasan untuk menolak.
            Maira tercengang. “Saya…” Jari telunjuknya tertuju tepat ke mukanya. “Kena ikut bos pergi seminar tu?” Dia tergelak. “Bos ni bergurau aje kan?” tambahnya, sukar hendak percaya dengan apa yang baru sahaja dibacanya sebentar tadi.
            Terjungkit sebelah kening Iqram apabila mendengar soalan itu. “Awak nampak muka saya ni macam muka orang tengah bergurau ke? Rupa saya ni macam rupa clown ya?” herdiknya, geram mendengar soalan itu.
            Maira terus terdiam kaku. Wajah kacak Iqram ditilik sedalam-dalamnya. Wajah itu kelihatan begitu serius sekali. Spontan, mulutnya ternganga luas. Erk, Mr. singa ni betul-betul serius! Maknanya, aku betul-betul kena ikut dia pergi seminar tu? Oh My ALLAH!
            Iqram  mengukir senyum sinis. “Kenapa awak diam? Awak terkejut sebab kena ikut saya pergi seminar tu?” Sempat lagi dia menyindir Maira.
            Maira menjeling geram. “Tak payah nak perli-perli oranglah!” bentaknya.
            Iqram tidak membalas, dia hanya tersenyum sinis.
“Berapa lama seminar tu? Kat mana?” soal Maira.
            “Seminar tu akan berlangsung selama empat hari di Kedah,” balas Iqram.
            Maira terpempan. “Haa… empat hari? Kat Kedah?” Dia terjerit kecil. Gulp, dia meneguk liur. “Kenapa seminar tu jauh sangat, bos?”
            Iqram menjungkit bahu. “Manalah saya tahu! Jangan tanya saya. Kalau awak nak tahu, awak pergilah tanya penganjur,” Dia mendekatkan wajahnya ke wajah Maira. “Saya hanya menurut perintah aje.” Dia menambah dengan muka selamba.
            Maira membisu.
            “Okeylah,” Tiba-tiba Iqram bangun. “Saya nak masuk bilik saya,” Figura Maira ditenung tajam. “Ingat, saya nak awak terpacak depan rumah tepat pada pukul 6.30 pagi! Saya tak nak kita sampai lambat!” arahnya dengan suara tegas.
            “Haa?” Buntang biji mata Maira. Wajahnya terus berubah rona. Cemberut. “Pukul 6.30 pagi? Tak awal sangat ke?”
            “Kira okeylah tu kita bertolak ke Kedah pukul 6.30 pagi esok. Kalau kita bertolak lepas balik kerja ni, awak nak?” sindir Iqram.
            Maira mengeluh geram. “Yalah… yalah…” Akhirnya dia mengalah. Wajahnya segera dimasamkan. Dia ni, suka sangat paksa orang tau!


----------------------

“LINA?” Puan Fadillah menegur. Matanya masih lagi ralit membelek majalah fesyen.
            Mak Uda Harlina yang kebetulan baru sahaja keluar dari dapur, terus melabuhkan duduk di sebelah kakaknya. “Ya, kak?”
            “Cantik tak baju ni? Apa kata kalau kita pakai baju ni untuk raya tahun ni?” Jari telunjuk Puan Fadillah tertuding ke arah majalah yang sedang dipegangnya.
            Bola mata Mak Uda Harlina teralih ke arah majalah itu. Melihat model yang sedang memperagakan baju kurung dan baju melayu itu, spontan bibirnya terukir senyuman lebar. “Isyh kak… lawa aih. Lina suka!” balasnya beria-ia.
            Puan Fadillah mempamer senyum lebar. Dia menoleh ke arah figura Encik Azmil yang sedang membaca surat khabar di sofa. “Abang tak kisah kalau kita pakai baju bertemakan warna yang sama untuk raya kali ni?”
            Encik Azmil tersenyum. “Saya tak kisah, Illa. Mana yang terbaik untuk awak, terbaik jugalah bagi saya,” jawabnya ringkas.
            “Yess!” Dua figura wanita itu terus menjerit riang apabila mendapat green light daripada Encik Azmil.
            “Ehem-ehem!” Tiba-tiba kedengaran suara deheman Maira. Wajah gadis itu kelihatan masam mencuka.
            Tiga pasang mata itu serta-merta menoleh ke arah figura Maira.       
            Melihat memek muka Maira, Mak Uda Harlina berkerut dahi. “Awat muka hang macam kena tonyoh dengan klorox ni, Mai?” soalnya dengan muka ingin tahu.
            Maira membuang keluhan kecil. Dia melabuhkan duduk di sebelah Mak Uda Harlina. “Mai ada sesuatu nak cakap pada abah, mak dan mak uda,” beritahunya dengan wajah sugul. 
            “Apa dia?” Puan Fadillah segera mencelah.
            Maira menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia agak keberatan hendak berterus-terang tentang perihal yang sebenar. Aduh, nak cakap macam mana ni? Kalau aku berterus-terang, agak-agaknya aku kena sembelih tak? gerutu hatinya.
            Dahi Encik Azmil berkerut melihat gelagat Maira. “Hang ni pasaipa, Mai?”
            Maira menggigit bawah bibir. “Err…”
            “Hang ni… pasaipa, Mai? Hang nak habaq apa sebenarnya ni?” Mak Uda Harlina segera mencelah. Tidak sabar hendak mendengar berita apa sebenarnya yang mahu disampaikan oleh anak saudara kesayangannya itu.
            Maira menarik nafas panjang, lalu menghembus keluar secara perlahan-lahan. “Sebenarnya… sebenarnya…”
            “Sebenarnya apa?” jerkah Mak Uda Harlina.
            Pantang dijerkah, Maira terus melatah. “Mai kena pergi seminar kat Kedah selama empat hari!” latahnya tanpa sedar.
            Mak Uda Harlina ternganga. “Seminar?”
            “Haa?” Terkebil-kebil mata Maira melihat figura Mak Uda Harlina. Lama-lama, dia tersedar sesuatu. Spontan, dia meneguk liur. “Err… ya!” Dengan teragak-agak, dia membalas. Habislah kau, Maira! Bersiap sedia untuk dibom! Pommm!!!
            Mak Uda Harlina mula bercekak pinggang. “Awat lama sangat seminar tu? Pasaipa jauh sangat?” Dia mula membebel-bebel. Wajahnya berubah garang.
            Gulp! Sekali lagi Maira meneguk liur. Alamak, matilah aku! Rasa macam nak tersembam ke lantai aje bila mendengar jerkahan mak uda. “Err…”
            Encik Azmil berdecit geram. “Diamlah, Lina oii! Hang ni, bagilah budak ni peluang untuk bercakap. Tok sahlah jerkah dia. Kesian si Mai ni, tak tentu hala jadinya,” marahnya.
            Mak Uda Harlina terus terdiam.
            Encik Azmil mengalihkan wajahnya ke arah Maira. Dia tersenyum. “Abah bukan tak izinkan hang pi sana, Mai. Abang faham dengan tuntutan kerja hang. Hang terpaksa pi sana atas arahan pihak atasan. Tapi…” Dia mengeluh. “Hang tu perempuan, Mai. Satu-satunya anak dara abah. Abah rasa berat hati nak lepaskan hang pi sana.”
            “Mai memang tak nak pergi, tapi…”
            Spontan bait-bait ayat yang terluncur keluar dari mulut Iqram mengetuk kotak fikirannya. “Awak kena ikut saya pergi seminar tu, Maira. Ni atas arahan big boss, Datuk Hakim!” Memikirkan arahan Iqram, serta-merta rasa geram menyerbu dada. Hisy, benci betullah bila kena ikut Mr. singa tu! Hatinya membentak geram.
            “Maira?” Tiba-tiba Puan Fadillah menegur.
            Maira tersentak kecil. Lamunannya segera menghilang. “Haa?” Terpinga-pinga dia memandang ibunya.
            “Hang pi sana nanti pi seorang diri atau pi berteman?” soal Puan Fadillah.
            “Err…” Teragak-agak dia hendak berterus-terang tentang perihal yang sebenar. Kalau abah, mak dan mak uda tahu, aku pergi Kedah dengan Mr singa tu, agak-agaknya dia orang terkejut biawak tak? “Haa… mak, abah dan mak uda jangan risau, ya? Mai dah besar panjang. Tahulah Mai jaga diri masa kat sana nanti.” Semerta Maira mengubah topik perbualan mereka. Tidak mahu menjawab soalan cepumas itu.
            Encik Azmil tersenyum. “Abah percaya, anak perempuan abah ni pandai jaga diri kat tempat orang. Tapi, seorang ayah tetap akan risaukan keselamatan anak perempuannya. Tambah-tambah lagi, Mai satunya-satunya puteri kami,” balasnya.
Maira mengukir senyuman, membalas senyuman abah. “Mai faham perasaan abah, mak dan mak uda. Mai janji, Mai akan jaga diri Mai baik-baik masa kat sana nanti!” janjinya bersungguh-sungguh. Tidak mahu mereka risau akan keselamatannya lagi.
“Haa…” celah Puan Fadilah tiba-tiba. “Hang pi sana seorang diri atau pi berteman?” Sekali lagi dia menyoal.
            Maira kaget. Erk, sekali lagi mak tanya soalan cepumas tu! Alamak, matilah aku! “Err… berteman,” jawabnya teragak-agak.  
            “Lelaki ke perempuan?” Mak Uda Harlina mencelah.
            “Err…” Tergagap-gagap Maira hendak menjawab.
            “Lelaki ke perempuan?” jerkah Mak Uda Harlina lantang.
            “Lelaki!” latah Maira. Dia segera menekup mulutnya. Alamak… dah terlebih sudah!
            Membuntang terus biji mata Mak Uda Harlina tatkala mendengar jawapan itu. “Apa, lelaki?” Dia menjerit. Menayang memek muka terkejut yang amat.
            Maira mengukir senyum payah. “Sebenarnya, dia ketua Mai kat office,” beritahunya bersungguh-sungguh. Melihat reaksi Mak Uda Harlina, sudah cukup membuat aku berasa gerun. Janganlah aku kena baham dengan mak singa ni! Sungguh menakutkan!         
            “Tok sahlah hang nak menjerit sampai terkeluaq anak tekak tu, Lina oii,” tegur Encik Azmil lagi. Agak kurang senang dengan sikap adik iparnya itu.
            Mak Uda Harlina terus terdiam. Dia berpeluk tubuh, sambil merenung tajam figura Maira.
            Maira pura-pura tidak nampak renungan tajam itu. Dia mengalihkan wajahnya ke wajah abah. “Err… abah, izinkan Mai pergi ya?”
            Encik Azmil merenung dalam-dalam wajah Maira. “Siapa nama ketua Mai tu?” soalnya ingin tahu.
            “Encik Iqram,” jawab Maira.
            “Mak uda setuju!” Tiba-tiba Mak Uda Harlina mencelah apabila mendengar jawapan Maira.
            Terjungkit sebelah kening Puan Fadilah tatkala melihat tingkah laku adiknya itu. “Aik, tadi beria-ia tak setuju. Sekarang, dah jadi terbalik pulak?” usiknya.
            Mak Uda Harlina terus tersenyum lebar. “Kalau dengan budak Iqram tu, Lina tak kisah, kak. Lagipun, budak tu nampak baik. Lina tahu, dia boleh jaga anak perempuan kita dengan baik masa kat sana nanti,” balasnya bersungguh-sungguh. Begitu yakin dengan firasatnya itu.
            Cebikan terbentuk di bibir Maira tatkala mendengar kata-kata itu. Dia nak jaga aku? Hmm… silap hari bulan, aku yang kena jaga dia tau, kutuknya.
            Tergeleng-geleng Encik Azmil apabila melihat telatah adik iparnya itu. Sebetulnya, dia juga bersetuju apabila mengetahui Iqram juga akan turut bersama Maira menyertai seminar di Kedah. Dia mengalihkan wajahnya memandang figura Maira. “Maira?” tegurnya.
Maira semerta menoleh tatkala mendengar namanya dipanggil.
Encik Azmil mengukir senyuman. “Abah izinkan hang pergi seminar tu, Mai.”

            “Yess!!!” Mak Uda Harlina pula yang terlebih gembira apabila Encik Azmil memberi green light pada Maira.

No comments:

Post a Comment