Wednesday, 24 February 2016

Novel Mr Singa Miss Selamba 15

IQRAM memandu kereta BMW 531inya memasuki perkarangan sebuah rumah kampung separuh batu yang tersergam indah di hadapan. Sesudah itu, dia membebaskan gear lalu menarik brek tangan. Dia menoleh ke arah Maira. “Maira?” tegurnya.
            Bola mata Maira meliar ke sana sini. Melihat keadaan sekeliling. Seraya itu, dia mengalihkan pandangan ke arah Iqram. “Kita kat mana ni, bos?” Terpinga-pinga dia memandang wajah kacak itu.
            “Kita dah sampai.”
            Benak fikirannya semakin ditikam rasa hairan. “Dah sampai? Kita kat mana ni, bos?” Sekali lagi Maira mengulangi soalannya.
            “Kita kat rumah tok saya,” beritahu Iqram.
            Maira tercengang. Mulutnya ternganga, matanya pula sudah membuntang luas. “Haa… kita buat apa kat sini?” Dia menayang memek muka hairan.
            “Alang-alang kita nak pergi Kedah, kita singgahlah rumah tok saya dulu. Lagipun, saya dah lama tak balik kampung. Saya rindu sangat-sangat pada tok saya.” Iqram beria-ia membalas.
            Maira berdecit. “Tapi, saya…”
            “Kenapa?” Dahi Iqram berkerut. Hairan dengan gelagat Maira.
            Maira menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Saya bukan tak nak masuk, bos. Saya.. saya tak selesalah. Lagipun, saya bukannya kenal dengan keluarga bos. Saya kenal Datuk Hakim dan Cik Erika aje.” Agak keberatan dia hendak menerima ajakan Iqram.  
            Iqram tergelak. “Awak jangan risau, Maira. Tok saya tu baik orangnya. Dia tu bukannya monster yang telan manusia hidup-hidup. Tok saya tu makan nasi aje,” balasnya beria-ia.
            Maira mencemik. “Takkan tok bos tu monster kot? Bos ni ada sangkut-paut dengan keturunan Sang Gelembai ke?” sindirnya. Garis senyum sinis meniti di bibir. “Tapi saya tengok bos ni tak ada rupa keturunan Sang Gelembai pun. Macam singa jantan adalah.” Puas hatinya kerana berjaya mengenakan ketuanya itu.
            Iqram menggeleng. Tercuit hatinya mendengar kata-kata itu. “Awak nikan, merepek aje tau. Tulah… suka sangat tengok cerita kartun, sampaikan terjebak dalam dunia kartun awak tu.” Dia mengutuk dengan muka selamba.
            Membuntang mata Maira. “Bos!” Hisy, selamba katak aje kau kutuk aku ya? Aku hempuk sekali, naya aje!
            “Dah, tak payah nak banyak bunyi lagi. Jom kita masuk dalam,” ajak Iqram beria-ia. Malas dia hendak melayan telatah kebudakan-budakan gadis itu. Agak-agaknya, terlebih minum air ribena kot.
            “Saya…”
            Belum sempat Maira menghabiskan kata, tidak semena-mena cermin tingkap kereta mewah itu diketuk dari luar. Serentak itu, dua pasang mata itu teralih ke luar.
            Senyuman lebar meniti di bibir Iqram tatkala melihat figura seorang lelaki remaja berumur 16 tahun yang sedang berdiri di sebelah keretanya. Cepat-cepat dia menurunkan cermin tingkap kereta. “Eh, Abshar!”
            “Pasaipa tercegat dalam kereta ni? Jomlah kita masuk dalam!” ajak Abshar beria-ia. Suka benar dia melihat figura abang sepupu kesayangannya itu. Sudah lama mereka tidak bertemu mata. Rindu rasanya!
            Iqram spontan mengangguk. “Okey!” Dia menoleh ke arah Maira. “Jom kita masuk dalam, Maira!” ajaknya beria-ia.
            Maira berdecit. “Tapi…”
            “Siapa tu, bang? Marka abang ka?” celah Abshar sambil menjeling figura Maira di seat sebelah. Garis senyum nakal terbit di bibir.
            Maira tersentak. Erk, aku marka Mr. singa ni? Hisy, memang taklah! Namun belum sempat dia hendak membalas, Iqram terlebih dahulu bertindak.
            “Ha’ah,” Sambil tersenyum nakal, Iqram menoleh ke arah Maira. “Dia marka abang.” Terpalit riak nakal di wajah kacak itu.
            Maira tercengang. Haa? Dagunya hampir terjatuh ke bawah tatkala mendengar pengakuan itu. Erk, aku marka dia? Ha ha ha… kelakarnya!
            Abshar tertawa. “Oh, marka abang rupanya. Jomlah kita masuk dalam. Haa… kak boleh kenal-kenal dengan tok.” Beria-ia dia menambah.
            “Err…”       
            “Dia tak nak masuk dalam, Abshar.” Sekali lagi Iqram mencelah sebelum sempat Maira bersuara.
            Berkerut dahi Abshar. “Laa… pasaipa pulak?”
            Iqram mempamer senyum nakal. “Dia malu.”
            Maira ternganga luas. Haa… aku malu? Erk, sejak bila pulak ni?
            “Laa… pasaipa nak malu pulak, kak? Tok sah nak malu-malu aih. Kalau kak nak tau, tok kami la tok paling awesome dalam dunia ni tau,” beritahu Abshar beria-ia.
            Maira berdecit. “Err…”
            Iqram merenung wajah Maira bersama segaris senyum nakal di bibir. “Jomlah kita masuk dalam, sayang. Kesian tok saya tu tau. Dah lama dia tunggu kita. Dia mesti dah tak sabar nak jumpa ‘bakal cucu menantu’ dia yang selamba ni.” Dia membalas dengan muka selamba. Sengaja hendak mengenakan gadis itu.
            Maira menjeling geram. “Yalah… yalah…”
            Serentak itu, mereka membolos keluar dari perut kereta.


-------------


DENGAN langkah gementar, Maira berjalan masuk ke dalam rumah sederhana besar separuh batu separuh kayu itu. Dug dag! Dug dag! Hatinya semakin dipalu gendang. Hisy, masa-masa macam nilah cik hati nak buat perangai kan? Relax Maira, janganlah gelabah tak tentu hala!
            Iqram memandang figura Maira. Garis senyum penuh makna meniti di bibir. Seraya itu, dia berjalan ke arah gadis itu. “Maira?” Dia berbisik ke telinga gadis itu. Nada suaranya kedengaran begitu romantik sekali.
            Maira tergamam. Meremang bulu romanya tatkala mendengar suara itu. Terasa seluruh saraf sendirinya menggigil-gigil. Aduh, kau ni dah kenapa, wahai cik hati? “Err… apa ni, bos? Ja… janganlah buat macam tu. Saya tak selesalah.” Tergagap-gagap suaranya.
            Iqram mempamer senyum menggoda. Dia merenung manja wajah Maira. “Kenapa awak tiba-tiba aje jadi gagap ni?” Dia mendekatkan wajahnya ke wajah Maira. Membuat aliran nafas mereka menjadi sekata. “Awak takut ke bila tiba-tiba aje saya jadi romantik?”
            Terasa membahang wajah Maira. Umpama baru lepas keluar dari oven. Tubuhnya mula terasa seram sejuk. Lebih sejuk dari kartun Frozen. “Err…” Ala… kenapa dengan kau ni, Maira? Hisy, tiba-tiba aje lidah ni jadi pendek bila Mr. singa jadi romantik.
            Tawa Iqram hampir terburai, namun segera ditahan. Sungguh, dia berasa geli hati melihat eskpresi wajah Maira.
            “Ehem-ehem!” Tiba-tiba kedengaran suara deheman dari belakang.
            Maira dan Iqram segera berpusing ke belakang.
            Maira menghela nafas lega. Akhirnya, muncul sang penyelamat yang telah menyelamatkan dirinya daripada Iqram. Lelaki itu benar-benar sudah gila! Tiba-tiba aje berubah sikap. Ah, menakutkan!
            “Tok!” Iqram segera meluru masuk ke dalam pelukan nenek kesayangannya itu.
            Hajah Sakinah segera membalas pelukan cucunya itu. “Hang tau ndak, tok rindu kat hang. Awak lama tak balik Ipoh, Am?”       
            Iqram meleraikan pelukan mereka. Wajah Hajah Sakinah ditenung dengan penuh rindu. “Am minta maaf, tok. Bukan Am tak nak balik, tapi Am sibuk dengan kerja. Bukan setakat tok aje yang rindukan Am. Am ni haa… rindu sangat-sangat kat tok.” Beria-ia dia membalas.
            Hajah Sakinah mencebik. “Hang tu memang, sibuk aje memanjang!” bebelnya.
            Iqram hanya tergelak.
Hajah Sakinah menoleh ke arah figura Maira yang sedang tercegat di belakang Iqram. “Siapa ni, Am?” tanyanya ingin tahu.
            Iqram berpusing ke belakang. Dia tersenyum nakal. “Sebenarnya, dia…”
            Maira mengetap bibir. Kalau sengih-sengih macam ni, mesti nak buat kerja gila dialah tu! Hisy, bentak hatinya geram.
            “Dia tu marka abang Am, tok!” celah Abshar sebelum sempat Iqram menghabiskan ayatnya.
            Merah padam kedua-dua belah pipi Maira mendengar kata-kata itu. Aduh, tak pasal-pasal aku dicop mohor sebagai teman wanita Mr. singa ni tau. Oh, tidak! Aku tak rela!
            Hajah Sakinah mengalihkan wajahnya ke arah Iqram. Dia mempamer senyum lebar. “Betui ka, Am?” Dia mengerling pandang figura Maira. Hatinya berbunga-bunga bahagia apabila melihat gadis comel itu. Cantiknya, memang sesuai dengan cucu aku, puji hatinya
            Iqram ketawa. “Sebenarnya, Abshar dah salah faham ni…” balasnya dengan muka selamba.
            Abshar tercengang. “Haa?”
            “Hmm… salah faham. Sebenarnya, dia ni bukan teman wanita Am. Dia staf Am di Hakim Holdings. Nama dia Maira,” terang Iqram satu per satu.
            Membuntang terus biji mata Abshar. Dia menarik muka cemberut. “Hisy, abang ni jahat tau! Tak pasal-pasal Am kena tipu bulat-bulat dengan abang!” bebelnya dengan suara geram. Puihh, hantu betul!
            Tawa Iqram terus meledak kuat. Hatinya puas kerana berjaya mengenakan adik sepupunya itu.
            Maira mengatur langkah ke hadapan Hajah Sakinah. Kemudian, dia menyalami dan mencium tangan wanita tua itu tanda hormat. Garis senyum manis terukir di bibir. “Apa khabar, tok? Saya Maira Qaisarah. Tok boleh panggil saya Maira aje.” Dia memperkenalkan dirinya.
            Hajah Sakinah tersenyum. Ringan tangannya mengusap kedua-dua belah pipi Maira. Sungguh, hati tuanya sudah mula terpaut dengan kecomelan gadis itu. Nalurinya mengatakan bahawa gadis ini merupakan calon yang sesuai untuk menjadi suri hidup Iqram. “Kalau betui pun Maira ni teman wanita hang, apa salahnya? Memang sesuai benar dengan hang, Am.”

            Iqram dan Maira terus terkedu.

No comments:

Post a Comment